Carian
Ulasan Legion Phone Duel 2 – Telefon Padu Yang Tiada Siapa Tahu
October 8, 2021 Fahim Zahar

Lenovo sudah lama tidak memfokuskan produk telefon pintar mereka di pasaran global sehinggalah mereka mula memasuki arena permua dengan memperkenalkan Lenovo Legion Duel. Mereka dilihat yakin dengan model ini dan mula teruskan penawaran penggantinya pula iaitu Legion Phone Duel 2.

Selepas banyak kali mencuba Black Shark, Asus ROG, dan juga Razer Phone kami mengambil kesempatan untuk menguji peranti Lenovo ini pula. Sungguh mengejutkan, peranti ini berjaya menarik minat kami dengan perisian yang cukup menarik, prestasi yang gila, kamera swafoto pop-naik di sisi dan perkara paling aneh peranti ini memerlukan dua kabel untuk pengecasan pantas. Apa yang menarik dengan peranti ini dan adakah ia berbaloi? Ayuh baca ulasan ini sehingga tamat.


Spesifikasi Dan Rekaan

Legion Phone Duel 2
Skrin6.92″ AMOLED 2460 x 1080 (~388 ppi)
FHD+, 144Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Cip GrafikAdreno 660
RAM12/16 GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama64 MP, f/1.9, 25mm (sudut lebar)
16 MP, f/2.2, 123 darjah (sudut ultra lebar)
Kamera Swafoto44 MP, f/2.0, pop-naik sisi
Bateri5500 mAh (dwi-sel)
Pengecasan berwayar 90W
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Pembesar suara stereo
Dolby Atmos
Menghala ke hadapan
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanHarga RM2999-RM3899

Skrin peranti ini adalah antara yang paling besar dan luas, 6.92 inci menghampiri 7-inci yang sudah boleh dikira sebagai tablet kompak. Peranti yang berat ini tidak terasa seperti sebuah telefon dan mempunyai berat seakan sebuah tablet sahaja. Skrin beresolusi FHD+ serta menyokong HDR10+ dan kadar segar semula 144Hz. Menggunakan skrin peranti ini memang bagus dan menawan, OLED yang cukup hitam, serta sentuhan yang tiada masalah sela masa. Tetapi panel yang digunakan tidak begitu cantik dengan hasil warna yang tidak begitu menarik perhatian.

Peranti ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 888 yang digabungkan bersama memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 3.1. Kamera adalah 64+16 Megapixel bersama kamera swafoto 44MP. Bateri 5500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W, pembesar suara stereo Dolby Atmos menghala ke hadapan dan sekuriti imbasan cap jari bawah skrin.

Rekaan peranti kelihatan unik, tetapi ia tidak ergonomik seperti yang dipasarkan. Panel belakang dengan bonggol besar di tengah-tengah kelihatan aneh kerana semua komponen utama berada di dalamnya bersama dengan kipas penyejuk dengan lampu RGB.

Butang kawalan ada banyak semuanya jenis kapasitif dengan kesan haptik. Panel belakang juga adalah kawalan tambahan menggunakan kawalan sentuhan.

Sisi peranti memang rasa aneh dan berbeza, kerana kamera swafoto pop naik di sisi yang turut mempunyai butang kuasa. Sisi satu lagi adalah butang aras suara dengan satu lagi port USB-C, di bawah ada port USB-C sahaja dab di belakang pada bonggol tadi ada beberapa kekisi pembesar suara dan turut berfungsi sebagai kekisi mengeluarkan haba.

Penggunaan Dan Perisian

Peranti ini menggunakan perisian yang cukup ringkas dan ringan. Ia mudah dikendalikan dan padat dengan pelbagai tetapan menarik untuk menjadikan penggunaan sebagai sebuah peranti gaming lebih memuaskan. Ia juga kurang bloatware menjadikan peranti tenang sahaja apabila ia digunakan atau semasa sedang menetapkan peranti.

Banyak kawalan audio dan paparan diberikan, begitu juga kawalan tambahan untuk permua seperti mengubah kelajuan kipas, mengubah warna lampu RGB pada kipas dan logo, atau juga mempunyai kemampuan mengubah enjin haptik pada permua-permua yang disokong.

Tetapan pada paparan juga ada banyak, cuma banyak yang mimik dengan permainan ikonik yang membuatkan kami terfikir Lenovo ada lesen ke menggunakan rekaan ini. Ada juga antaramuka dan menu masih tidak bahasa Inggeris sepenuhnya dan masih menggunakan bahasa asing.

Turut terbina adalah sokongan menambat terus alat kawalan atau aksesori perkakasan permainan seperti papan kekunci, tetikus, aksesori audio dan sebagainya. Kawalan tetapan pada peranti ini berada di tahap yang advance menimbulkan tanda tanya yang akan beli peranti ini akan godek kesemuanya ataupun tidak?

Masalah besar adalah pada kemaskini peranti, kerana walaupun peranti ini memasuki Makmal Amanz sedikit lewat dan menjalankan perisian versi sama dengan unit yang dijual di pasaran tempatan, ia tidak mempunyai kemaskini tampalan sekuriti terkini. Membuatkan kami rasa was-was untuk gunakan atau log masuk akaun-akaun penting pada peranti ini.

Permua Dan Penanda Aras

Bermain permua pada peranti ini sememangnya memuaskan dari segi prestasi yang pantas dan hebat belaka. Sepanjang bermain tidak akan ada masalah memanas, tidak kiralah Asphalt 9 atau PUBG Mobile dengan tetapan grafik paling tinggi.

Tambahan pula ada kemampuan aktifkan mod Rampage yang menggunakan kuasa CPU dan GPU pada kadar paling optimum untuk prestasi yang lebih laju. Ia melewahjam cip peranti agar ia boleh beroperasi pada kadar maksima.

Masalah yang dihadapi ketika bermain permua adalah rekaan yang sepatutnya ergonomik tetapi membuatkan jari rasa lenguh dengan mudah dan cepat apabila menggunakan butang-butang kawalan pada peranti. Kipas juga akan bunyi bising di tahap yang agak menjengkelkan. Akan tetapi, bermain dengan kawalan tambahan ini memang menarik dan rasa unik kerana ia mempunyai kadar maklum balas yang cukup baik.

Skor penanda aras peranti ini juga berada di luar jangkaan. AnTuTu mencatatkan skor 818,572 yang mana adalah skor yang agak tinggi. Bukan tinggi biasa, tapi agak tinggi gila. Skor pada Geekbench 5 pula adalah 1122/3620 untuk satu teras dan multi-teras. Juga merupakan skor yang cukup tinggi untuk cip Snapdragon 888.

Walaupun begitu, peranti ini tidak lari daripada masalah memanas yang agak teruk. Apabila grafik tinggi dan mod Rampage tadi digunakan, peranti akan rasa panas sehingga tidak selesa dipegang. Jari besar juga akan mudah tersentuh panel belakang yang gila panas dan tidak boleh dimaafkan.

Kamera

Peranti gaming biasanya tidak mempunyai kemampuan kamera yang begitu hebat dan gah. Fokus mereka adalah untuk bermain permua sehingga lebam, jadi mana ada masa untuk berswafoto, bergambar dan sebagainya. Cuma sejak ke belakangan ini, Black Shark dan Nubia atau juga Asus telah memperlihatkan peningkatan kualiti kamera pada peranti-peranti mereka.

Legion berbeza dan jauh ketinggalan kerana kamera pada peranti ini adalah ala kadar sahaja dan tidak memuaskan. Lihat sahaja pada aplikasi yang terlampau asas, ia begitu asas membuatkan melihat antaramuka kamera ini bosan.

Sensor 44MP untuk kamera swafoto sememangnya adalah sensor yang besar. Namun ia mempunyai pasca proses yang terlampau sehinggakan wajah menjadi terlalu lembut seakan mod kecantikan diaktifkan. Bukan itu sahaja ia juga tidak begitu konsisten, kerana dalam situasi yang sama kadangkala imej adalah cerah dan kadangkala imej adalah lebih gelap.

Mod potret peranti ini juga mempunyai isu yang sama. Cuma dengan tambahan ia lebih lembut dan kesan kabur yang tidak kemas.

Ingatkan MIUI sahaja adalah masalah AI yang tidak konsisten. Tetapi harga jualan peranti mereka adalah mampu milik dan boleh diterima. Lenovo juga ada dan lebih teruk, kerana turut mempunyai masalah pada imbangan warna putih dan kadangkala mempunyai masalah fokus.

Tetapi apabila ia jadi, ia benar-benar jadi da mampu menghasilkan imej yang cukup berkualiti serta penuh butiran dengan kesan kabur yang natural. Warna juga agak menarik dan terang berbeza dengan situasi sebelumnya.

Zum pula boleh diterima, cuma akan ada masalah fokus yang tidak menyenangkan hati. Butiran aneh sekali berjaya dipelihara dengan baik dan warna juga masih boleh diterima.

Pada waktu malam, walaupun peranti ini menyokong mod malam – algoritma yang digunakan seakan peranti kelas pertengahan. Ia hanya sekadar meningkatkan kecerahan dan menaikkan saturasi imej sahaja. Menjadikan hasil akhir sedikit jingga daripada warna sebenar yang dilihat oleh mata.

Audio

Asus dan Lenovo adalah antara dua jenama yang masih menggunakan sistem pembesar suara stereo di hadapan. Pada peranti ini ia menggunakan sistem audio yang ditala oleh Dolby Atmos dan sungguh mengejutkan ia cukup kuat, lantang, dalam dan sedap. Bermain permua memberi kesang bunyi surround yang menarik dan mudah untuk menikmati atau menjiwai permua.

Mendengar muzik juga cukup enak dengan aplikasi penstriman seperti Apple Music. Mempunyai bass yang dalam, butiran yang boleh dinikmati dengan baik serta mempunyai vokal yang jelas lagi enak.

Telefoni Dan GPS

Peranti ini tiada masalah langsung dengan WiFi, rangkaian 4G atau penggunaan VoLTE. Semuanya lancar dan stabil. Penggunaan Internet tiada masalah dan panggilan telefon juga jelas kedengaran. Penggunaan GPS juga tiada sebarang isu, peranti gergasi dengan semua komponen utama di bahagian tengah peranti ini boleh mengunci lokasi dengan pantas dan hampir tepat.

Bateri

Lenovo Legion Phone Duel 2 mempunyai bateri yang agak besar, iaitu 5500mAh dengan rekaan dwi-sel. Ia menyokong pengecasan pantas 90W dan merupakan antara yang terawal menggunakannya. Namun, konsep 90W mereka memerlukan dua kabel disambungkan pada dua port pengecasan untuk sokongan Turbo Charge yang kononnya efisien.

Tetapi pesaing seperti Xiaomi boleh sahaja tawarkan 120W tanpa masalah memanas dan hanya satu port serta satu kabel. Jadi penggunaan dua kabel untuk mengecas ini memberi persepsi yang untuk memanfaatkan keseluruhan ciri peranti ini adalah melecehkan.

90W juga tidak begitu pantas, jika dibandingkan dengan 120W. Walau bagaimanapun, ia cukup menarik dan memuaskan jika dilihat pesaing dalam kategori sama masih lagi sekitar 60W sahaja. Ketahanan bateri juga amat menakjubkan. Penggunaan ringan dan bersahaja boleh memberi ketahanan sehingga lebih 9 jam SOT. Jika ada tambahan aplikasi dan media sosial lebih aktif, 7-8 jam SOT tidak menjadi masalah.

Manakala jika aktif dengan kamera, permua, media sosial dan lebih ekstrem cara penggunaan ketahanan adalah sekitar 5-6 jam. Malah kadangkala lebih daripada itu. Jarang peranti mercu seperti ini ada kemampuan bateri yang tahan lama. Satu pujian kepada Lenovo diberikan.

Pesaing

Legion Phone Duel 2Asus ROG Phone 5Realme GT Master Edition
6.92″ AMOLED 1080 x 2460
(~388 ppi), FHD+, 144Hz, HDR10+
6.78″ AMOLED, 1080 x 2448
144Hz (~395 ppi), HDR10+
6.43″ Super AMOLED, 1080 x 2400
(~409 ppi), 120Hz
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 778G (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.9 GHz Kryo 670
Adreno 660 Adreno 660 Adreno 642L
12/16 GB LPDRR4X8 GB LPDRR58 GB LPDDR5
5 GB RAM Maya
128/256/512 GB UFS 3.1128GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
64+16 Megapixel
f/1.9+f/2.2
Kamera Utama
64+13+5 Megapixel
f/1.8+f/2.4+f/2.0
Kamera Utama
64+8+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Hadapan
44-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
24-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Tidak kalis airTidak kalis airTiada kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, Dolby AtmosAudio Stereo, GameFX AudioAudio Mono
5500mAh
(Berwayar 90W)
6000mAh
(Berwayar 65W)
4300 mAh
(Berwayar 65W)
Harga RM2999-RM3899Harga RM2999Harga RM1499-RM1699

Kesimpulan

Biasanya jika ada peranti gaming memasuki pasaran Malaysia, pasti akan menjadi sambutan. Asus ROG Phone ke, Black Shark ke ataupun Nubia Red Magic – sambutannya adalah hangat. Orang ramai yang membeli akan kongsi di media sosial, Facebook Group dan lain-lain lagi. Tetapi untuk Legion Phone Duel 2 ini ia sedikit asing dan seakan dilupakan. Sehingga hari ini saya tidak pernah berjumpa lagi dengan orang menggunakan peranti ini ataupun melihat orang tanya berkenaan peranti ini.

Tidak dinafikan, peranti ini cukup hebat dan padat dengan spesifikasi yang mantap. Sayang sekali penawaran keseluruhan untuk menjadikan ia sebuah telefon pintar lengkap tidak memuaskan. Skrin baik sahaja, rekaan tebal dan berat, kamera juga ala kadar, prestasi memang lancar – cuma masalah memanas yang amat teruk tidak boleh dimaafkan. Bateri walaupun tahan lama, 90W menggunakan dua kabel adalah aneh sedangkan pesaing tawarkan sehingga 120W dengan satu kabel tidak menjadi masalah.

Untuk jenama yang agak baru yang melancarkan peranti premium, terus dijual pada harga sekitar RM3000 ke RM4000 adalah sukar untuk diterima orang. Dengan kemaskini yang entah ke mana, jangka masa peranti ini untuk ia bertahan di masa hadapan adalah sukar untuk dilihat.


Pro

  • Skrin yang okay, cantik serta pantas.
  • Prestasi gila mantap dan memuaskan.
  • Kualiti audio yang seimbang dan lantang.
  • Konsep kamera di sisi yang benar-benar fokus permua.

Kontra

  • Berat dan sukar dikendalikan, jari lenguh cuba menggunakan butang-butang kapasitif.
  • Kamera ala kadar termasuk utama dan swafoto.
  • Walaupun pantas dan berkipas, masalah memanas tidak boleh dimaafkan.
  • Bateri tahan lama, tetapi 90W memerlukan dua kabel agak aneh.
Komen