Baru-baru ini, Realme telah memperkenalkan penjejak kesihatan baharu yang dinamakan sebagai Realme Band 2. Ia merupakan model kemas kini kepada Realme Band yang dilancarkan pada tahun lalu dengan beberapa peningkatan. Misalnya seperti saiz skrin lebih besar, kawalan sesentuh yang lebih menyeluruh, jangkaan ketahanan bateri lebih panjang dan lain-lain. Harga jualan yang ditawarkan juga masih di tahap mampu milik iaitu RM169. Tetapi, adakah penjejak kesihatan ini berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah ulasan ringkas kami untuk penjejak kesihatan daripada Realme ini.

Spesifikasi Peranti:
SPESIFIKASI | REALME BAND 2 |
Jenis | Penjejak Kesihatan |
Paparan | 1.4-inci (3.5 mm) TFT LCD 167 x 360 pixels |
Pemproses | – |
Muatan Dalaman | – |
Bateri | 204mAh Ketahanan mencapai 12 hari |
SIM/Telefoni | Tidak |
Sensor | 3-axis Accelerometer Sensor, GH3011 Sensor |
NFC | Tidak |
Inframerah | Tidak |
Tahap Ketahanan | 5 ATM (kedalaman mencapai 50 meter) |
Diameter | 259.8 x 24.6 x 12.1 mm |
Warna | Black |
Harga Jualan | RM169 |
Reka Bentuk:
Menyentuh soal reka bentuk, Realme band 2 mempunyai rekaan yang berkonsepkan ringkas dan minimalis. Melaluinya, penjejak kesihatan ini membawakan rekaan muka jam berbentuk segi empat memanjang. Sekilas pandang, ia mengingatkan kami kepada seutas Huawei Band 6 yang pernah diulas dalam artikel sebelum ini.
Cumanya, Realme Band 2 tidak mempunyai sebarang butang fizikal di sisi. Seperkara lagi yang anda akan perasan, penjejak kesihatan ini juga mempunyai saiz bezel yang tebal pada bahagian dagu. Jika diteliti baik, terdapat satu garis kecil padanya yang boleh digunakan untuk kembali ke muka utama apabila disentuh.

Penjejak kesihatan ini dilengkapi skrin bersaiz 1.4-inci TFT LCD beresolusi 167 X 320 piksel dan kecerahan maksima sehingga 500 nits. Ini adalah saiz skrin yang sama digunakan pada Realme Watch 2, tetapi lebih besar berbanding 0.95-inci yang digunakan pada Realme Band terdahulu. Seterusnya, ia juga lengkap dengan paparan panel berwarna bersama sokongan sesentuh yang lebih baik.
Bercakap mengenai tali, unit ulasan di tangan kami dilengkapi tali sejenis getah lembut dengan lebar 18mm. Tali ini juga menggunakan cangkuk standard dan ia boleh ditanggalkan serta ditukar ganti dengan mudah mengikut keperluan pengguna sendiri.

Kami memakai Realme Band 2 ini hampir sepanjang hari. Dari segi pengalaman peribadi, kami boleh katakan penjejak kesihatan ini langsung tidak menyebabkan ketidakselesaan. Malahan, Realme Band 2 juga ringan dengan berat sekitar 27.3 gram sahaja. Ini membuatkannya langsung tidak terasa ketika dipakai pada pergelangan tangan baik ketika melakukan aktiviti sukan, bekerja mahupun tidur.

Seterusnya, kualiti warna skrin juga agak terang dengan tahap kecerahan yang mencukupi. Di sini, kami tidak mengatakan yang mana warna yang dipaparkan itu benar-benar terbaik. Cuma secara amnya, ia boleh sahaja digunakan dengan selesa. Pendek kata, mudah untuk digunakan dan kesemua elemen seperti teks serta nombor juga boleh dibaca dengan baik.
Untuk kegunaan di luar, seeloknya anda menetapkan pada tahap kecerahan yang paling tinggi iaitu 100%. Sebaliknya, kegunaan di kawasan tertutup pula, tahap kecerahan skrin sebanyak 60% sudah memadai.
Antaramuka, Kawalan & Pengalaman Penggunaan:
Dari segi sistem operasi, Realme Band 2 mempunyai sistem operasi yang tersendiri. Fungsinya juga adalah terlalu asas dan tiada sebarang kebolehan untuk memasang apa-apa aplikasi tambahan. Seterusnya, proses kawalan pada skrin adalah baik dan tiada sebarang masalah serius yang ditemui sepanjang tempoh ulasan.
Secara amnya, ia terasa lancar dan paling penting tiada masalah meskipun jari sedang basah. Proses menggunakan antaramuka Realme Band 2 juga tidak begitu sukar. Pada kami sendiri, ia cukup mesra pengguna. Kami juga percaya anda tidak mempunyai masalah besar untuk membiasakan diri dengannya kerana penggunaan adalah amat mudah sekali.

Notifikasi boleh dibaca dengan melakukan tatalan dari atas pada muka utama. Satu titik bewarna hijau akan terpapar pada skrin apabila terdapatnya notifikasi yang diterima. Seperti kebanyakan penjejak kesihatan lain, kesemua notifikasi hanya boleh dibaca tanpa kebolehan untuk membalas. Begitu juga dengan notifikasi panggilan masuk. Di mana, skrin akan memaparkan nama pemanggil. Tetapi, ia hanya menawarkan fungsi untuk membisukan atau mematikan panggilan sahaja. Bagi menjawabnya, anda boleh melakukannya menerusi telefon pintar yang disambungkan.
Kemudian, tatalan dari bawah pula memberi akses kepada beberapa fungsi seperti mod sukan, spO2, pemantauan pola tidur dan banyak lagi. Di sini, anda juga akan perasan adanya mod untuk aktiviti renang/pool swimming. Sebabnya, Realme Band 2 menyokong ketahanan kalis air 5ATM dengan kedalaman 50 meter.

Tatalan daripada kiri pula menyajikan akses pintas untuk beberapa tetapan asa. Misalnya seperti fungsi do not disturb, raise to wake dan tetapan kecerahan skrin. Selebihnya, anda perlua klik pada simbol tetapan untuk rujukan lebih menyeluruh. Akhir sekali, tatalan dari kanan pula menunjukkan beberapa maklumat. Melaluinya, ia menunjukkan kiraan tapak, pemantauan pola tidur, kadar degupan jantung secara automatik dan kemas kini cuaca.

Baiklah, anda perlu muat-turun apliksi Realme Link terlebih dahulu sebagai persediaan awal penggunaan. Proses sambungan juga mudah dengan beberapa langkah asas. Melaluinya, pelbagai tetapan dan data terkumpul boleh diakses. Dalam pada itu, setiap satu data yang terkumpul dipaparkan dengan teratur. Di samping itu, anda juga boleh menukar antaramuka dan proses yang diambil adalah sekitar 10 saat.

Seperkara lagi yang perlu untuk anda tahu, Realme Band 2 tidak mempunyai sokongan GPS terbina. Ini adalah sama seperti kebanyakan penjejak kesihatan lain. Oleh itu, anda perlu sentiasa membawa sekali telefon pintar kemana-mana bagi mengesan jejak setiap langkah.
Seterusnya, ciri pemantauan tidur juga mengambil bacaan secara automatik. Aplikasi akan memaparkan analisa pecahan data tidur yang terperinci bersama ukuran kadar jantung. Anda juga perlu tahu, pengesanan tidur ini juga tidak terhad untuk tidur di waktu malam sahaja. Sebaliknya, ia juga mengukur masa tidur pada waktu siang juga.

Tidak habis di situ, Realme Band 2 juga menyokong fungsi spO2 yang boleh digunakan untuk mengukur kadar oksigen dalam darah. Bagaimanapun, anda perlu ingar bahawa bacaan yang diambil hanya sesuai dijadikan rujukan semata-mata. Sebagai tambahan, terdapat juga ciri penjejakan kitaran haid khusus buat kaum wanita. Melaluinya, ia membolehkan anda untuk menetapkan tarikh dan keadaan fizikal tubuh sepanjang tempoh ini.
Ketahanan Bateri :
Dengan bateri sebesar 204mAh, Realme Band diiklankan dengan kemampuan ketahanan bateri mencapai 12 hari. Namun begitu, penggunaan kami mendapati ia hanya mampu bertahan hampir 5 hari lamanya dengan bateri berbaki 8%. Sepanjang ulasan ini, kami menggunakannya untuk pelbagai fungsi yang ada dengan sambungan pada telefon pintar secara berterusan. Seterusnya, proses pengecasan pula boleh dilakukan dalam tempoh masa kurang daripada satu jam.

Pesaing:
Realme Band 2 | Huawei Band 6 | Oppo Band | |
Skrin | 1.4-inci TFT LCD 167 x 360 pixels | 1.47-inci, AMOLED 194 x 368 piksel | 1.10-inci, AMOLED 126 x 294 piksel |
Sistem Operasi | Tersendiri | Tersendiri | Tersendiri |
Perlindungan | 5ATM | 5 ATM | 5ATM |
Bateri | 204mAh Sehingga 12 hari | Tidak didedahkan | 100mAh Sehingga 12 hari |
Sensor | 3-axis Accelerometer Sensor, GH3011 Sensor | Sensor IMU 6-paksi, pemecut, giroskop, imbasan nadi optikal | Sensor 3-paksi pemecut , imbasan nadi optikal SPO2 |
Pengecasan | Dermaga magnetik | Dermaga magnetik | Dermaga tersendiri |
Harga | RM169 | RM219 | RM159 |
Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya, Realme Band2 selesa untuk digunapakai kerana ianya cukup ringan. Ciri-ciri yang ditawarkan olehnya juga sangat berguna buat anda yang baru mahu berjinak-jinak ke dalam kehidupan lebih sihat. Namun begitu, kekurangan pada sistem GPS membuatkan kita tidak boleh mengharapkan penjejakan jarak itu akan sentiasa tepat. Di Malaysia, Realme Band 2 dijual pada harga RM169. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya segera menerusi kedai atas talian Realme di Lazada.

Pro
- Reka bentuk yang ringan & selesa digunapakai.
- Harga rendah & mampu-milik.
- Berupaya menjalankan fungsi asas dengan baik.
- Tali boleh ditukar dengan mudah.
Kontra
- Fungsi terlalu asas & tiada sokongan aplikasi tambahan.
- Tiada sokongan sistem GPS terbina.
- Tiada keupayaan membalas untuk notifikasi diterima.
- Ketahanan bateri tidak seperti yang diiklankan.
