Selepas Carl Pei keluar daripada OnePlus, beliau tubuhkan syarikat Nothing yang dibiayai oleh ramai orang seperti Casey Neistat, syarikat terkemuka seperti Google dan ramai lagi. Produk pertama mereka adalah Ear (1), iaitu set fon telinga nirwayar sebenar yang turut ditala oleh Teenage Engineering – syarikat produk audio yang berpengalaman dengan produk novelti audio lain seperti pembesar suara.
Nothing Malaysia telah menghantar TWS pertama mereka ke kami sejak beberapa bulan lalu dan kami telah mengujinya untuk memberi penilaian sama ada adakah produk ini hanya hype semata-mata atau benar-benar berkualiti. Ini adalah artikel ulasan kami untuk Nothing ear (1).
Spesifikasi Dan Rekaan
Nothing Ear (1) | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga |
Pemacu Audio | 11.6 mm dinamik jenis grafena Ditala oleh Teenage Engineering SBC & AAC |
Mikrofon | 3x mikrofon HD Algoritma ENC |
Sensor | Bluetooth 5.2 Auto jeda |
Bateri | 5 jam berterusan 24 jam ANC dengan pengecas 34 jam tanpa ANC dengan pengecas |
Tambatan | Bluetooth Google Fast Pair |
Pengecasan | USB-C Qi |
Sokongan aplikasi | Android, iOS |
Kawalan | Sesentuh |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM499 |
Spesifikasi Nothing ear (1) ini dilihat agak asas sahaja, dan seakan tiada yang unik pun selain daripada produk audio dalam kelas pertengahan. Kedua-dua fon telinga mempunyai pemacu audio jenis grafena 11.6 mm dinamik, ditala oleh Teenage Engineering, menyokong codec SBC dan AAC, terdapat tiga mikrofon pada setiap fon telinga jenis HD serta dikuasakan dengan algoritma pembatalan hingar persekitaran atau ENC.

Cip Bluetooth adalah versi 5.2, dengan sensor tambahan untuk fungsi auto jeda jika fon telinga dikeluarkan daripada telinga. Bateri dikatakan adalah 4 jam untuk penggunaan berterusan, 24 jam dengan ANC bersama pod pegecas dan sehingga 30 jam tanpa ANC. Pengecasan juga adalah pantas dengan USB-C, serta turut menyokong pengecasan nirwayar Qi. Tetapi untuk tambatan pantas, sokongan Google Fast Pair turut boleh digunakan.

Kawalan adalah sesentuh pada permukaan tangkai fon telinga untuk tiga kali tap atau tap dan tahan. Kawalan ini juga boleh diubah melalui aplikasi Ear (1) yang tersedia di App Store atau Play Store. Perlindungan IPX4 turut disediakan untuk ia bertahan daripada percikan peluh misalnya.
Cukup pada spesifikasi, mari kita beralih kepada rekaan pula yang paling unik dan berbeza dengan kebanyakan TWS lain. Nothing ear (1) ini menggunakan rekaan lutsinar yang boleh dilihat dalamannya. Bukan sahaja pada kerangka simpanan/pod pengecas tetapi turut kepada kedua-dua fon telinga.

Rekaan lutsinar pada pod pengecas ini adalah sangat unik, seksi, dan cantik. Di dalamnya terdapat blok putih dengan corak berbintik yang tidak boleh disentuh kerana dilindungi dengan plastik. Pada penutup terdapat lekuk untuk mudah dipegang atau pada hemat kami mudah untuk ketahui arah di mana hadapan penutup berada.
Sisi paling penting berada di kiri dengan port pengecas USB-C dan juga butang untuk tetapan atau tambatan. Buka sahaja penutup akan kelihatan tulisan ear (Case) dengan rekaan teks yang menarik serta ruangan meletakkan kedua-dua fon telinga. Di bawah ruangan ini ada titik perak untuk kiri dan titik merah untuk kanan. Setiap magnet dan komponen juga kelihatan. Lampu LED berwarna untuk tahap pengecasan bateri dan proses pengecasan.

Untuk kedua-dua fon telinga, sekali pandang bentuk AirPods Pro pun ada dengan bahagian pemacu audio yang bujur serta putik telinga di hujung. Tetapi dengan tangkai yang rata seakan leper serta rekaan lutsinar, ia memberi ilusi yang ini adalah rekaan asli sepenuhnya.
Kedua-dua fon telinga kita boleh lihat dengan jelas kekisi untuk mikrofon, kekisi tambahan di dalam, kemasan bercorak serta tulisan Nothing ear (1). Kanan ada titik warna merah dan kiri pula ada titik warna putih. Bateri, papan litar dan komponen lain termasuk kontak magnet juga jelas dilihat yang ia direka dengan rapi, tersusun dengan cantik serta diberi penuh perhatian.

Bukan hanya pada rekaan, tetapi kualiti binaan juga adalah premium walaupun hanya plastik. Magnet pada penutup yang kuat, buka dan tutup kerangkanya juga adalah sedap sekali. Rekaan ini sememangnya satu rekaan novelti yang cantik.
Cuma apa yang kami risaukan adalah, ia mudah calar. Plastik tetap plastik, calar-calar halus pasti akan ada. Lebih-lebih lagi rekaan sebegini.
Kualiti Audio
Ulasan pada video yang kami terbit adalah berdasarkan versi awal. Kami baru sedari ada kemas kini pada TWS ini dan ia ada sedikit perubahan yang ketara. Kami akan cuba jelaskan apakah bezanya dalam ini.
Bass/Lows
Untuk pengalaman dengan pelbagai jenis TWS, baik daripada kelas asas, kelas pertengahan atau pun yang mercu – ear (1) ini berada dalam kategori yang biasa sahaja. Bass difokuskan kepada mid-bass sahaja yang mana agak baik dan enak sahaja, cuma dentuman yang dihasilkan tidak cukup dalam dan tidak begitu memuaskan. Bass TWS ini juga mengganggu sedikit vokal menjadikan pengalaman pendengaran kurang memuaskan.
Vokal/Mids
Bahagian ini apabila digunakan untuk mendengar muzik adalah biasa sahaja juga. Ia tidak memberikan satu pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Contohnya pada muzik yang dinyanyikan oleh lelaki tidak cukup merdu dan tidak memberikan satu impak yang orang kata wow atau mantap. Tetapi suara wanita adalah lebih baik, itu pun bergantung kepada muzik yang dipilih. Macam yang kami uji adalah muzik-muzik pop Taylor Swift serta muzik oleh Olivia Rodrigo – cukup menarik.
Nada Tinggi/Highs
Ia mempunyai hasil audio yang agak nyaring, tetapi tidak membingitkan. Ia masih boleh diterima, tetapi instrumen atau suara dengan nada tinggi seakan tidak tercapai dan terus tenggelam sedikit. Yang tidak hiraukan butiran mungkin boleh menerimanya, tetapi untuk kami ia benar-benar sesuai dengan dakwaan Carl Pei yang produk ini adalah dalam kelas pertengahan bukannya berada di tahap premium seperti Sony XM4 atau Apple AirPods Pro. Sebaliknya berada dalam kategori seperti Pixel Buds Series-A, AirPods biasa dan lain-lain dalam kelas sama.

Pementasan Audio & Pengasingan
Muzik-muzik dengan banyak instrumen atau yang menggunakan alatan elektronik/digital akan rasa sedikit serabut. Tetapi muzik yang memfokuskan pendengaran yang tenang dan bersahaja tiada masalah pun dan cukup enak. Cuma apabila pementasan audio yang terkumpul di satu kawasan sahaja, pendengaran jangka masa panjang boleh memeningkan kepala sedikit. Walaupun begitu, pengasingannya menjadikan mereka yang inginkan butiran tidak dapat dinikmati. Setiap instrumen sukar untuk dibezakan dan tona-tona rendah seperti bunyi alam semula jadi yang berada jauh di belakang walaupun ada sukar untuk tangkap.
ANC/Mod Tembus Bunyi
Di sinilah perubahan yang paling ketara selepas kemas kini dapat dirasakan. Bukan pada kualiti audio, tetapi pada ciri yang digemari ramai ini. Sebelum TWS ini dikemaskini, apabila ANC diaktifkan akan ada rasa satu kesan seakan tekanan pada telinga berlaku. Tetapi ia tidak begitu baik dan tidak berjaya membatalkan hingar di sekeliling seperti bunyi penyaman udara atau kipas pada komputer riba.

Melalui kemas kini ini, ia lebih baik dengan berjaya menapis hingar seperti ini. Walaupun masih boleh dengar bunyi di sekeliling, ia adalah lebih baik berbanding sebelumnya. Mod tembus bunyi dengan mod biasa (ANC mati) seakan tiada beza pun kecuali menambah bunyi bising seakan radio mencari isyarat.
Tetapi ANC ke mod tembus bunyi akhirnya ada beza yang lebih ketara.
Mod Sela Masa Rendah
Dalam kemas kini yang sebenarnya sudah diedarkan sejak sekitar tiga minggu lalu, yang baru kami pasangkan pada TWS ini – terdapat fungsi mengaktifkan mod sela masa rendah. Atau pada TWS lain, ia digelar sebagai gaming mode. Mod ini amat membantu dalam tontonan video dan perbezaannya adalah jelas kelihatan. Menggunakan mod ini juga syukur tidak mengorbankan kualiti audio.
Mikrofon
Tiga mikrofon definisi tinggi pada setiap satu fon telinga ini mengejutkan adalah cukup baik. Sesi telesidang pada Google Meet, menggunakan TWS ini untuk siaran langsung di Amanz melalui Stream Yard atau juga untuk panggilan telefon adalah memuaskan. Suara boleh didengari dengan jelas dan bunyi bising sekeliling dapat dimatikan. Sampel rakaman suara di bawah ini dirakam di dalam bilik dengan bunyi kipas dan penyaman udara.
Bateri
Untuk aksesori audio dalam kelas ini, bateri yang didakwa bertahan sehingga 5 jam penggunaan berterusan adalah baik. Dakwaan Nothing untuk ketahanan bateri mereka adalah tepat sekali dan sepanjang penggunaan kami tidak mengalami masalah bateri.

Sejurus Ear (1) ini tiba di makmal Amanz, perkara pertama kami lakukan adalah caj sehingga penuh. Penggunaan kami satu hari sekitar 2 jam sahaja dan apabila disimpan dalam pod pengecas ia akan dicas semula. Tidak menjadi masalah penggunaan singkat seperti ini setiap hari untuk bertahan sehingga sekitar satu minggu.
Aplikasi
Aplikasi Ear (1) boleh dimuat turun di App Store atau Play Store. Rekaan antaramuka aplikasi ini cukup menarik sekali, moden, unik, teks yang berlainan dan mudah digunakan. Aplikasi ada sokongan mencari fon telinga jika hilang, boleh gunakan untuk ubah kawalan atau profil audio, kemas kini perisian, menyokong mod gelap dan beberapa lagi.

Masalah aplikasi ini satu sahaja, kawalan equalizer yang dungu. Ia tidak mempunyai kawalan dalam bentuk carta atau slider sebaliknya terlampau asas dengan pilihan Balanced, More Treble, More Bass atau Voice. Dua yang pertama seakan tiada beza, ketiga ada sedikit omphh bertambah yang tidak begitu jelas dan Voice pula seakan meningkatkan suara pada vokal dan instrumen diperlahankan.

Kawalan ANC juga ada pilihan Light atau Maximun dalam satu garis yang kelihatan seakan slider tetapi ia juga adalah pilihan salah satu sahaja. Dalam aplikasi turut ada pilihan sama da ingin aktifkan In-Ear Detection yang mana jika diaktifkan muzik akan jeda jika fon telinga dikeluarkan. Mod sela masa rendah juga boleh dipilih dalam aplikasi ini.
Jika ada lebih daripada satu Nothing Ear (1), ia ada fungsi carian untuk sambungkan aksesori kedua.

Untuk Android, ada Easter Egg ditawarkan. Dengan beberapa tap secara bergilir pada titik merah dan putih pada setiap fon telinga di laman utama boleh mengubahnya menjadi Ear (0) atau Concept 1. Kemudian turut ada fungsi mengubah warna lampu LED untuk indikasi tambatan, baki bateri dan pengecasan.
Kesimpulan
Benar, Nothing ear (1) lebih kepada produk novelti sahaja. Audionya hanya biasa-biasa dan tidak ada faktor Wow pun yang memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Tetapi untuk ciri dan fungsi yang ditawarkan, kemampuan prestasi audio – ia boleh diterima untuk TWS dalam kelas pertengahan. Dalam banyak-banyak TWS yang kami uji di Makmal Amanz, Ear (1) ini boleh dikatakan berada di antara Realme Buds Air 2 dan Oppo Enco X.
Harga RM499 sedikit mahal daripada jangkaan kami, tetapi untuk harga ini dengan rekaan seksi, anggun, menawan dan menarik perhatian ini – mana lagi kita boleh cari TWS yang boleh nampak luar dan dalamnya.

Perlu diingatkan juga yang ini adalah produk pertama mereka, dan mereka masih belajar dan mengumpul maklum balas pengguna lagi. Mungkin generasi kedua atau produk mercu mereka akan menawarkan kualiti yang lebih hebat?
Pro
- Rekaan gila unik dan menawan
- Binaan yang kukuh dan rasa premium
- Harga yang boleh diterima
Kontra
- Audio yang sederhana
- Aplikasi yang tidak boleh kawal equalizer
- ANC yang agak “manja”
- Mod tembus bunyi seakan tidak berfungsi
