Cari @ Amanz

Beberapa tahun yang lalu, Apple telah mengalihkan fungsi Report A Problem daripada terbina dalam aplikasi App Store dan menyukarkan pengguna untuk membuat laporan mengenai aplikasi-aplikasi yang menyebabkan masalah kepada pengguna.

Terkini, dengan kemaskini iOS 15, Apple dilihat telah meletakkan semula fungsi tersebut di semua laman muat-turun aplikasi dalam App Store mereka, secara langsung memudahkan para pengguna peranti Apple untuk menghantar laporan mengenai aplikasi-aplikasi yang menipu ini secara lebih mudah.

Sebelum ini, pengguna Apple perlu melalui pelbagai halangan untuk melaporkan aplikasi-aplikasi yang menipu pengguna ini, dan lebih teruk lagi, pengguna tidak boleh membuat aduan khusus mengenai aplikasi tersebut kerana tidak diberi pilihan tersebut.

Kini, pengguna boleh membuat aduan penipuan khusus mengenai aplikasi percuma, berbayar dan juga kandungan aplikasi berbayar dengan lebih banyak butiran, memudahkan pihak Apple untuk mengharamkan aplikasi tersebut di App Store.

Fungsi ini dikatakan telahpun dalam perbincangan sebelum pengenalan iOS 15 dan diimplementasi tanpa begitu banyak pengumuman, dan tiba apabila Apple sendiri mengesahkan bahawa banyak aplikasi didalam App Store yang terlepas pandangan Apple dan melepasi proses pengesahan dan keselamatan syarikat tersebut.

Ini adalah salah satu daripada proses Apple untuk memastikan bahawa aplikasi-aplikasi yang ditawarkan pada platform App Store mereka selamat digunakan, dan memudahkan proses membuat aduan tentang sesebuah aplikasi sekiranya ia diperlukan.

Sumber: The Verge

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd