OnePlus bulan ini dikhabarkan akan melancarkan sebuah peranti Snapdragon 870 yang digelar OnePlus 9RT. Ia mungkin akan menjadi peranti pertama OnePlus dengan Oxygen OS 12 berasaskan Android 12 terus daripada kotak dan akan ditawarkan pada harga lebih mampu milik berbanding OnePlus 9 Pro.
Peranti ini dikatakan adalah pengganti kepada siri “T” mereka yang tidak akan diperkenalkan pada tahun ini. Tetapi Digital Chat Station seorang peniris terkenal dari China menyatakan, OnePlus turut akan melancarkan sebuah lagi peranti dengan cip Snapdragon 888 pada bulan ini juga.
Peniris turut menyatakan OnePlus tidak akan menggunakan cip Snapdragon 888+ yang lebih berkuasa seperti yang mereka pernah lakukan pada generasi sebelum, yang mana peranti di suku terakhir setiap tahun akan dijana dengan cip Qualcomm yang lebih terkini. Selain itu, peranti ini akan menggunakan sistem pengecasan pantas 65W Warp Charge.
Butiran lain seperti kamera, skrin, harga dan tarikh jualan masih tidak diketahui lagi. Sama-sama kita nantikan.