Cari @ Amanz

Pelancaran sistem operasi terbaru Microsoft Windows 11 dijangka akan memperlihatkan jenama-jenama komputer mengemaskini penawaran mereka untuk sistem operai tersebut, dan kini, Razer baru mengumumkan bahawa mereka telah mengemaskini peranti Razer Book dan Razer Blade 15 mereka.

Bermula dengan Razer Book, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin IPS sesentuh bersaiz 13.4 inci yang hadir dengan pilihan paparan Full HD ataupun 4K, bergantung kepada keperluan pengguna. Dengan fokus kepada produktiviti, paparan skrin ini juga hadir dengan nisbah 16:10 yang menjadikan paparan ini sedikit lebih tinggi.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake seperti Intel Core i7-1165G7 dan Intel Core i5-1135G7 dengan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD NVMe sehingga 1TB, bergantung kepada konfigurasi yang anda pilih.

Dari segi grafik, seperti yang diapat dilihat pada model CPU Razer Book generasi baru ini, ia dikuasakan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah permainan komputer pada resolusi Full HD dengan tetapan serdahana.

Jika sebuah komputer riba gaming berkuasa apa yang anda inginkan, Razer turut mengemaskini Razer Blade 15 Advanced mereka dengan penawaran yang serba berkuasa. Ia dilengkapi paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan pilihan resolusi QHD dengan penawaran kadar segar semula 165Hz dan 240Hz yang menjanjikan pengalaman gaming yang cukup lancar.

CPU Intel generasi ke-11 Rocket Lake yang terbaru juga diperkenalkan pada model ini, dengan penggunaan model Intel Core i7-11800H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 1TB bergantung kepada model.

Dari segi penawaran grafik, Razer Blade 15 Advanced ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3070 dan GeForce RTX 3060.

Untuk kedua-dua model ini, Razer mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini akan hadir dengan sistem operasi Windows 11 dari dalam kotak. Komputer-komputer riba Razer yang lain pula akan boleh dikemaskini apabila ia sedia kelak.

Menurut Razer lagi, Razer Book dan Razer Blade 15 Advanced dengan kemaskini terbaru ini sudah mula dijual di beberapa pasaran terpilih pada harga permulaan $999.99 untuk Razer Book dan $2299.99 untuk Razer Blade 15 Advanced Edition.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd