12 Ciri Baharu Android 12 Yang Boleh Dicuba Sekarang

Diterbitkan pada Okt 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Android 12 kini sudah memasuki dalam kod AOSP dalam bentuk stabil. Sesiapa sahaja bebas menggunakannya untuk membangunkan custom ROM tersendiri atau pengeluar juga sudah boleh menggunakannya untuk diintegrasikan bersama pelancar atau sistem masing-masing.

Android 12 mempunyai perubahan drastik yang sangat berbeza dengan Android-Android versi lalu. Bertahun lamanya Google menggunakan format rekaan Material Design, akhirnya kini mereka gunakan rekaan baharu Material You yang lebih segar dan nampak berbeza. Turut disertakan adalah pelbagai ciri dan fungsi menarik yang akan memuaskan hati pengguna.


1. Material You

Rekaan antaramuka ini kini lebih ceria dan interaktif. Ia juga adalah rekaan yang adaptif, di mana tema warna boleh berubah mengikut imej latar belakang pengguna. Selain itu, ia turut mampu mengubah tema secara keseluruhan sistem dengan tema warna yang disarankan atau mengubahnya mengikut roda warna pilihan sendiri. Yang mengecewakan ialah sistem mengubah tema warna ini adalah eksklusif pada peranti Pixel 3 dan ke atas sahaja pada waktu ini.

2. Widget Baharu

Selepas Vivo hadir dengan Origin OS yang memfokuskan penggunaan widget serta iOS 14 sejak tahun lepas yang mempunyai integrasi yang lebih baik – Google turut mengubah cara dan rekaan widget dalam Android 12. Melalui sokongan ini, widget tidak lagi terhad dalam bentuk segi empat tetapi turut ada pelbagai bentuk yang sedia terbina secara lalai. Widget ini turut menyokong sistem tema adaptif Android 12.

3. Carian Universal

Apple sudah sedia mempunyai sistem carian universal Spotlight begitu juga pada Windows 10 dan Windows 11 yang boleh mencari bukan sahaja aplikasi sudah pasang, tetapi emel, dokumen, carian web dan banyak lagi. Untuk Android, sistem carian ini seringkali hadir melalui telefon pintar keluaran China seperti Vivo, Oppo, Xiaomi dan lain-lain.

Terkini ia sedia terbina pada aplikasi Google dan melalui bar carian sama ada di skrin utama atau dalam talam aplikasi, ia boleh mencari emel, SMS, aplikasi, carian web dan turut akan memaparkan papan kekunci secara automatik untuk proses carian yang lebih pantas.

4. Papan Pemuka Privasi

Meneruskan usaha untuk membenarkan pengguna mengawal hal privasi dan sekuriti masing-masing, Android 12 hadir dengan Privacy Dashboard. Papan pemuka ini adalah seakan Digital Wellbeing cuma menunjukkan “kesihatan” privasi peranti.

Setiap akses kebenaran yang diberikan akan dipaparkan dalam bentuk susur masa lengkap dengan cop waktu serta berapa lamakah akses tersebut diberikan secara keseluruhan. Pengguna kemudiannya boleh menarik akses kebenaran yang diberikan kepada aplikasi terus dari Privacy Dashboard tanpa perlu mengorek ke dalam tetapan aplikasi seperti yang digunakan sekarang.

5. Penggunaan Satu Tangan Lebih Mudah

Dengan rekaan Material You serta pengalaman bertahun bekerjasama dengan Samsung, Google turut menggunakan konsep rekaan One UI iaitu teks besar, ikon besar serta ruangan kosong di atas dengan kandungan di alihkan ke bahagian bawah agar penggunaan satu tangan lebih mudah.

Ia kelihatan seakan membazir ruang, tetapi ia menjadikan pengalaman penggunaan lebih mudah serta menjadikan paras rupa Android 12 lebih minimalis.

6. Talam Notifikasi Yang Interaktif

Google turut tidak berhenti menjadikan sistem notifikasi mereka lebih hebat hari demi hari. iOS juga masih tidak dapat menandingi Android dalam pengurusan notifikasi sehinggalah iOS 15. Dalam Android 12, pemberitahuan notifikasi adalah lebih efisien, lebih pintar dan seakan interaktif.

Membalas mesej, melihat status muat turun dan pelbagai lagi adalah lebih memudahkan.

7. Kunci Skrin Dengan Lebih Maklumat

Jika sistem notifikasi sudah semakin baik, sudah semestinya kunci skrin juga akan menjadi lebih baik kerana boleh memaparkan notifikasi yang sama. Ia akan memaparkan lebih banyak maklumat dan mempunyai tetingkap yang lebih besar dan lebar untuk memudahkan pengguna berinteraksi dengannya.

8. Indikasi Kamera, Lokasi Dan Mikrofon

Sama seperti iOS jika mikrofon atau kamera sedang digunakan akan ada titik berwarna di paparkan di bahagian atas skrin. Android 12 turut mempunyai ciri ini, malah pengguna turut mempunyai kawalan lebih baik di mana pada akses pintas di panel kawalan dalam talam notifikasi ada pilihan untuk terus menghalang akses kamera dan mikrofon digunakan. Jika ditekan, kamera dan mikrofon akan terus dimatikan.

9. Butang Kuasa Yang Menyeru Google Assistant

Pengeluar peranti lain sudah lama mengintegrasikan ciri ini, yang mana butang kuasa boleh ditetapkan jika ditekan lama-lama ia akan menyeru Google Assistant. Ia adalah pilihan lain selain daripada tatal daripada hujung bawah skrin dan petanda yang Google tidak lagi akan menggunakan sensor tekanan untuk picit dan seru.

10. Pelancar Yang Lebih Menarik

Pengenalan Android 12 yang lebih baik ini, lebih-lebih lagi pada peranti Pixel – pelancar yang lalai ditetapkan sudah lebih efisien dan mesra pengguna. At A Glance iaitu widget lalai pada pelancar ini yang memaparkan cuaca, tarikh dan jadual pengguna sudah boleh diubah tetapannya – sekali lagi dengan lebih banyak kawalan. Susunan widget tadi juga lebih mudah digunakan. Tidak lupa juga pada ikon-ikon yang apabila ditekan dan tahan, menu terapung lebih jelas.

11. Aplikasi Turut Menerima Rekaan Material You

Biasanya apabila ada kemaskini baharu, ia hanya berubah pada sistem sahaja. Tetapi dengan Android 12 ini, ada yang telah dikodkan jika sesuatu aplikasi itu dibuka akan turut mempunyai rekaan Material You. Beberapa aplikasi ini juga yang mana majoritinya masih lagi aplikasi daripada Google sendiri sedia menyokong sistem tema adaptif. Jam mempunyai kawalan baharu, kalendaqr juga lebih kemas dan banyak lagi.

12. Telur Easter Android 12 Yang Unik

Macam biasa, setiap Android yang baru akan ada telur easter yang unik yang cuba Google tawarkan kepada pengguna. Ada dalam bentuk permua ringkas, ada dalam bentuk talam notifikasi dengan konsep menjaga haiwan peliharaan, ada juga yang mempunyai seni cantik.

Untuk Android 12 ini, ia hadir dalam bentuk widget jam baharu dan apabila diubah kepada tepat pukul 12 animasi dan logo Android 12 akan terpapar. Sejurus selepas itu dalam ruangan widget akan ada pilihanPaint Chips yang memaparkan kod-kod warna pada gambar latar dan tema yang digunakan.


Sedikit peringatan, kebanyakan yang kami sebut dalam ini adalah eksklusif untuk peranti Pixel sahaja. Tetapi ada juga yang akan ditawarkan kepada umum dalam kemaskini akan datang. Artikel ini juga adalah berdasarkan Android 12 Beta 5 yang merupakan antara yang paling stabil ada untuk Pixel.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami