Cari @ Amanz

Sehari selepas Frances Haugen yang merupakan bekas pengurus produk di Facebook ditemubual 60 Minutes dan mendakwa platform media sosial ini mementingkan keuntungan daripada keselamatan pengguna, Mark Zuckerberg tampil dengan jawapan. Dalam status yang dinaikkan ke Facebook hari ini, Zuckerberg menolak kesemua dakwaan mengenai platform media sosial nombor satu dunia.

Beliau menyangkal bahawa Facebook meletakkan kepentingan keuntungan syarikat daripada keselamatan pengguna. Mengenai tuduhan Facebook membenarkan kandungan kebencian dikekalkan kerana menarik lebih banyak interaksi pula, Zuckerberg berkata ini adalah tidak masuk akal. Pengiklan tidak mahu produk mereka diletakkan dengan kandungan negatif tambah Zuckerberg lagi.

Perubahan pada susur masa untuk mengurangkan waktu pengguna di laman juga telah dilakukan menerusi kemas kini Meaningful Social Interactions untuk susur berita pengguna. Mengenai laporan Instagram memberikan kesan negatif kepada remaja pula, Zuckerberg mengatakan kajian yang digunakan tidak dilaporkan dengan betul.

Sama ada anda ingin berpihak kepada Facebook ataupun Haugen, yang pasti Facebook kini terlalu besar serta terlalu dominan. Kehilangannya Facebook, Instagram dan WhatsApp selama enam jam hanya sehari yang lalu menyebabkan gangguan perniagaan di Afrika, Amerika Syarikat dan Eropah kerana ia menjadi tulang bekalang komunikasi berbilion pengguna setiap hari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd