Nokia merupakan satu jenama telefon yang ikonik dan dikenali di peringkat global selama beberapa dekad. Seperti yang dijanjikan, tablet Android pertama Nokia kini diumumkan secara rasmi dan ia dikenali sebagai Nokia T20. Ia merupakan tablet yang memfokuskan kepada binaan yang baik bersama jangka hayat bateri cukup panjang. Menurut Nokia, tablet ini mampu bertahan mencapai 15 jam lamanya untuk penggunaan yang pelbagai.

Untuk spesifikasi khusus, Nokia T20 dilengkapi skrin sesentuh bersaiz 10.4-inci beresolusi 2K (1200 x 2000 piksel) dan kecerahan puncak 400 nits. Seterusnya, ia juga dikuasakan oleh cip Unisoc Tiger T610 (12nm), memori 4GB RAM, storan dalaman 64GB dan sokongan untuk ruangan tambahan melalui kad microSD sehingga 512GB. Tablet ini juga menjalankan Android 11 dan dilengkapi dengan Google Kids Space serta Google Entertainment Space. Tidak ketinggalan, HMD turut menjanjikan kemas kini selama 2 tahun untuk sistem operasi dan 3 tahun keselamatan.

Bercakap mengenai fotografi pula, ia membawakan kamera utama 8MP dan diikuti dengan 5MP kamera swafoto. Beberapa lagi spesifikasi lain seperti bateri 8,200mAh yang menyokong pengecasan 18W, pembesar suara stereo dengan teknologi OZO Audio, port sambungan USB-C, bicu audio 3,5mm dan sebagainya. Ia bagaimanapun, tidak mempunyai sokongan pengimbas cap jari, sebaliknya hanya disertakan sistem imbasan wajah.
Nokia T20 dijual pada harga bermula €200 (~RM966) untuk versi WiFi. Sementara itu, Nokia T20 dengan versi 4G pula berharga €240 (~RM1,159).