Cari @ Amanz

Kedua-dua iPad Mini terbaru dan iPad generasi kesembilan yang dilancarkan pada 14 September lalu, akhirnya sudah boleh dibeli di Malaysia secara rasmi di laman web rasmi Apple.

iPad Mini 2021 adalah iPad yang dinantikan ramai, kerana sudah sekian lama model ini tidak dikemaskini. Ia hadir dengan rekaan yang rata di sekeliling mimik iPad Air tahun lalu dan dijana dengan cip pemprosesan A15 Bionic yang lebih berkuasa daripada cip-cip lain di pasaran. Ia juga menyokong Apple Pencil generasi kedua yang boleh dilekatkan di sisi, hadir dengan kamera 12MP dengan sokongan Center Stage, pengecasan pantas 20W dan skrin 8.3-inci yang lebih besar pada saiz yang kompak.

Harga jualan iPad Mini adalah bermula RM2,299 untuk model WiFi dan storan 64GB, manakala bermula daripada RM2,949 untuk 64GB dengan selular. Penghantaran bagi model ini akan ambil masa daripada 1-2 minggu.

Bagi iPad generasi kesembilan pula, ia adalah model iPad yang paling asas dengan cip pemprosesa dua generasi lalu, iaitu A13 Bionic. Skrin adalah lebih luas dan lebar pada saiz 10.2-inci, menyokong storan asas 64GB dan tiada lagi 32GB, Apple Pencil generasi pertama turut disokong dan mempunyai sokongan kamera 8MP dengan Center Stage.

Model iPad ini ditawarkan pada harga bermula RM1499 untuk WiFi sahaja, sementara model WiFi + Selular ditawarkan pada harga bermula RM2119. Model ini akan dihantar seawal minggu hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd