Cari @ Amanz

Apabila ia dilancarkan pada tahun lepas, siri komputer riba Apple MacBook yang dilancarkan dengan SoC Apple M1 boleh dikatakan salah satu daripada siri komputer riba yang paling berkuasa di pasaran. Ia sungguh hebat sehingga orang ramai yang menggunakan perisian tidak rasmi pada komputer riba in imengatakan ia dapat digerakkan dengan lebih cekap berbanding dengan komputer riba yang menyokong perisian-perisian ini secara rasmi.

Projek ini dipelopori oleh kumpulan Asahi Linux, yang telah berjaya untuk membuatkan sistem operasi Linux 5.16 boleh digunakan pada komputer riba tersebut secara lancar. Kumpulan ini bertungkus-lumus untuk membolehkan perisian pemandu berjalan dengan lancar pada MacBook M1 ini, walaupun terdapat satu isu yang mereka masih belum boleh selesaikan lagi.

Menurut kumpulan tersebut, walaupun sistem operasi mereka boleh digerakkan pada MacBook M1 tanpa masalah, mereka masih tidak dapat mengaktifkan fungsi GPU Acceleration untuk memindahkan sejumlah tugas pemprosesan kepada bahagian cip pemprosesan grafik cip Apple M1.

Walaupun begitu, mereka juga mengatakan bahawa walaupun cip grafik tersebut tidak dapat digunakan, silikon Apple M1 ini pada asalnya cukup berkuasa untuk menggerakkan sistem operasi mereka dengan sangat lancar sekali, malah lebih hebat berbanding dengan contoh-contoh lain seperti Rockchip ARM64 yang mempunyai sokongan GPU Acceleration.

Asahi Linux berkata bahawa projek ini masih berada dalam fasa ujian awal, dan mereka sedang cuba untuk membangunkan sistem operasi yang stabil sebelum mereka mengeluarkan fail ISO pemasangan sistem operasi tersebut secara terbuka.

Sumber: Asahi Linux

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd