Apple berhadapan beberapa kes saman kerana amalan perniagaan mereka didakwa adalah anti persaingan. Terkini menurut Reuters, Kesatuan Eropah (EU) sekali lagi mendakwa Apple kerana sistem Apple Pay dan NFC mereka dikatakan tidak menggalakkan persaingan serta menghalang akses kepada aplikasi lain.

Umun diketahui sistem NFC pada ekosistem Apple adalah tidak terbuka seperti Android. Ciri menambat aksesori audio menggunakan NFC misalnya masih belum disokong. EU melihat Apple memberikan kelebihan kepada Apple Pay untuk mengakses ciri NFC bagi melakukan pembayaran secara nirtunai. Walaupun Apple semakin terbuka, hanya Apple Pay dan Wallet sahaja akan muncul secara automatik di skrin peranti apabila mengesan pad sentuhan NFC bagi melakukan pembayaran.
Oleh sebab itu EU kini sedang bersedia untuk mendakwa Apple bagi memaksa mereka membuka akses sistem NFC kepada aplikasi pihak ketiga. EU mungkin yang paling agresif memaksa Apple supaya lebih terbuka serta ingin mereka berubah ke port USB-C bermula tahun hadapan walaupun ditentang oleh Apple.