Carian
Firma China Memperlihatkan Roket Untuk Pelancong Dengan Rekaan Hibrid SpaceX dan Blue Origin
October 7, 2021 Effi Saharudin

SpaceX dan Blue Origin ialah dua syarikat angkasa lepas swasta yang bersaing antara satu sama lain. Dengan pengasas terdiri daripada dua bilionwan terkaya dunia, kedua-dua syarikat ingin menawarkan pakej pelancongan ke angkasa lepas kepada mereka yang berkemampuan. Dua syarikat ini dan Virgin Galactic akan mempunyai sebuah lagi pesaing kali ini dari China iaitu CAS Space.

CAS Space telah menunjukkan rekaan roket swasta mereka yang mempunyai kapsul penumpang mirip New Shepard oleh Blue Origin dan roket bulan mirip Starship oleh Space X. Sistem CAS Space dilengkapi lima roket Xuanyuan yang menggunakan bahan api kerosin dan cecair oksigen. Penumpang akan dihantar ke Garisan Karman dalam perjalanan yang memakan masa sekitar 10 minit.

Kemudian kapsul akan kembali ke bumi menggunakan tiga payung terjun – sistem yang juga mirip New Shepard Blue Origin dan Dragon SpaceX. Roket Xuanyuan pula akan kembali mendarat ke bumi secara menegak selepas proses pemisahan.

Firma China ini menyasarkan ujian sulung pada tahun 2022 diikuti oleh penerbangan ke angkasa pertama pada tahun 2023 sebelum mula menghantar pelancong ke angkasa lepas pada tahun 2025.

Komen