Cari @ Amanz

Kehidupan norma baharu sekarang memerlukan kita untuk bekerja dan belajar dari rumah bagi membendung penularan wabak berjangkit yang melanda dunia. Tentunya penggunaan internet dan langganan pelan data tanpa had menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan. Malah, menurut kajian yang dijalankan oleh Celcom, penggunaan data telah meningkat sebanyak 51% dalam tempoh suku pertama tahun 2021 ke suku kedua 2021 dengan purata penggunaan 23GB setiap bulan.

Namun, terdapat juga mereka yang menggunakan data internet secara tidak terkawal dan perkara ini memberi kesan kepada pengalaman pelanggan data internet yang lain. Hal ini kerana, perkara ini akan meningkatkan kebarangkalian untuk berlakunya kesesakan rangkaian internet kepada semua pelanggan syarikat telekomunikasi. Oleh sebab itu, wujudnya terma Fair Usage Policy (FUP).

Apa Itu FUP?

Secara umumnya, FUP ini adalah had yang ditetapkan daripada syarikat telekomunikasi untuk pengguna mereka agar tidak terlebih menggunakannya. Jadi, walaupun sesuatu pelan itu telah diletakkan slogan “Data Tanpa Had”, perlu diingatkan bahawa penawaran internet berkelajuan tinggi yang ditawarkan masih lagi mempunyai hadnya yang tersendiri.

Oleh sebab itu, jika anda telah mencapai had penggunaan internet yang sesuatu syarikat telekomunikasi tawarkan, kelajuan internet anda akan dikurangkan. Langkah ini adalah untuk memastikan penggunaan internet menjadi lebih terkawal dan tidak berlaku kesesakan rangkaian sekaligus memberi peluang kepada semua pengguna untuk menikmati pengalaman menggunakan internet yang lebih konsisten. 

Dapatan Kajian Tentang Penggunaan Data Di Malaysia

Celcom baru-baru ini telah menjalankan satu kajian pasaran yang memperlihatkan bahawa secara puratanya, pengguna di Malaysia menggunakan data internet 23GB setiap bulan. Jadi, mana-mana pengguna yang menggunakan internet 30GB setiap bulan boleh dikategorikan sebagai pengguna tegar dan menurut Celcom kebanyakan antara pengguna ini adalah terdiri daripada pelanggan pelan prabayar data tanpa had. 

Daripada kajian ini juga, seramai 84% daripada pengguna Malaysia menggunakan internet untuk menonton penstriman video, diikuti oleh trafik aplikasi, muat turun fail, penstriman audio dan juga permesejan. 84% pengguna Malaysia ini secara kasarnya menonton penstriman video sehingga 6 jam secara berterusan. Dan jumlah peratusan ini adalah 4.2 kali lebih tinggi daripada purata tontonan penstriman video untuk seluruh dunia. Perkara ini sedikit sebanyak dikatakan memberi kesan kepada pengalaman penggunaan internet yang lain. 

60GB Adalah FUP Untuk Celcom Xpax. Adakah Ia Mencukupi?

Baru-baru ini, Celcom Xpax telah mengemaskini laman FAQ untuk penawaran pas internet tanpa had prabayar baharu mereka dan menyatakan bahawa pas-pas internet tanpa had mereka kini telah ditetapkan had FUP bermula 7 Oktober. Ini menjadikan pas internet mingguan tanpa had Celcom Xpax ini tertakluk kepada had 20GB dan 60GB untuk pas internet tanpa had bulanan.

Jadi walaupun pelan mereka menyatakan bahawa ia adalah data tanpa had, perlu diingatkan bahawa penggunaan internet berkelajuan tinggi ini mungkin akan dihadkan kepada kelajuan 512kbps selepas anda mencapai had 60GB FUP yang ditetapkan. Hal ini adalah bagi membendung masalah kesesakan rangkaian kepada semua pelanggan mereka. Walaupun begitu, anda tidak perlu risau kerana anda masih lagi dapat menikmati data tanpa had walaupun pada kelajuan internet anda telah dihadkan.

Dengan kelajuan 512kbps, anda boleh melakukan pelbagai tugasan asas seperti melayari laman web, menggunakan aplikasi permesejan WhatsApp, melayari media sosial seperti Facebook, dan Twitter yang memuaskan. Dan jika anda ingin menonton video di YouTube, anda boleh menontonnya pada resolusi SD 480p ke bawah, tetapi mungkin perlu memuatkannya terlebih dahulu sebelum ia boleh ditonton tanpa tersekat-sekat. Kesemua ini boleh dilakukan dengan baik jika sokongan internet di kawasan anda adalah stabil.

Menurut mereka lagi, kemaskini FUP ini tidak menjadi masalah kerana secara puratanya setiap pengguna hanya menggunakan 23GB data sahaja setiap bulan. Kelajuan data tanpa had yang ditawarkan melalui pelan prabayar Celcom Xpax ini adalah antara 3Mbps atau 6Mbps. Jadi, jika seseorang itu pengguna internet tegar dan memerlukan sambungan internet yang laju serta data yang banyak, besar kemungkinan mereka mempunyai internet jalur lebar (broadband) mereka sendiri di rumah untuk melakukan tugasan berat.

Oleh itu, kebarangkalian untuk pengguna internet tegar mereka menghadapi masalah pengurangan kelajuan internet sehingga 512kbps ini cukup rendah sekali. Melalui langganan Celcom Xpax, banyak perkara yang anda boleh lakukan dalam masa sebulan sebelum ia mencapai 60GB FUP yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, dalam masa sebulan, anda boleh menonton penstriman video sehingga 120 jam, di mana secara puratanya 4 jam sehari. Jika anda gemar bermain permua dengan menggunakan data pula, anda boleh meneruskan permainan sehingga 8 jam sehari selama 153 hari sebelum ia dikenakan had penggunaan. Menurut Celcom, jika penggunaan internet anda telah melepasi 60GB, anda masih lagi boleh menonton penstriman video tapi pada resolusi rendah, melayari media sosial dan internet serta boleh bermain permua yang ringan.

Cara Mengoptimasikan Penggunaan Data Agar Semua Pengguna Dapat Merasai Pengalaman Penggunaan Yang Konsisten


Celcom mencadangkan beberapa cara mudah untuk mengurangkan penggunaan data bulanan anda agar tidak mencapai had FUP yang ditetapkan.

i) Aktifkan mod penjimatan data secara terbina pada aplikasi khususnya pada aplikasi yang mempunyai ciri “data saver” secara terbina. Apabila ciri ini diaktifkan, ia akan mengurangkan kualiti imej dan menyekat video daripada dimainkan secara automatik.

ii) Nyah-aktifkan kemas kini dan fungsi muat turun media secara automatik.

iii) Matikan data mudah alih anda apabila tidak digunakan dan kurangkan pembaziran data.

iv) Tetapkan had dan matikan data mudah alih secara automatik. Melalui cara ini, anda boleh menetapkan jumlah maksimum data yang boleh diakses untuk tempoh masa tertentu dan fungsi data mudah alih ini akan dinyah-aktifkan apabila penggunaan data melebihi kapasiti yang ditetapkan.

v) Hadkan penggunaan aplikasi penstriman. Anda disarankan untuk menonton video pada definisi biasa kerana semakin tinggi resolusi video, semakin banyak data internet yang anda akan gunakan.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, had FUP ini dikenakan bagi pelanggan Celcom Xpax yang menggunakan data secara tidak terkawal melebihi 60GB setiap bulan. Hal ini adalah untuk membendung masalah kesesakan rangkaian yang berpotensi untuk terjadi. Dalam masa yang sama Celcom Xpaxingin memberi peluang kepada semua pengguna mereka untuk merasai pengalaman menggunakan internet yang lebih konsisten.

Kebarangkalian untuk seseorang pengguna itu dikenakan had FUP adalah rendah kerana dapatan kajian daripada Celcom menyatakan bahawa orang ramai kebiasaannya menggunakan data internet 23GB secara purata setiap bulan. Malah, sekiranya anda dikenakan had FUP sekalipun, anda masih lagi dapat menggunakan internet pada kelajuan 512kbps dan masih lagi berupaya untuk melakukan tugasan asas seperti melayari media sosial dengan memuaskan. Jadi, had FUP 60GB untuk setiap bulan ini sudahpun memadai, dan anda masih boleh menggunakan rangkaian data daripada pelan data tanpa had daripada Celcom dengan baik.

Seiring dengan kemaskini had FUP ini, Celcom juga telah memperkenalkan pelan Xpax Unlimited yang baru. Dibawah pelan ini, terdapat 4 pakej kesemuanya. Salah satu daripadanya adalah pas RM38 yang hadir dengan kuota 5GB internet berkelajuan tinggi, kelajuan internet 3Mbps, panggilan tanpa had, hotspot percuma 3GB dan untuk peminat drama Korea, Cina dan lokal serta anime, anda juga boleh menikmati akses iQiYi VIP secara percuma selama 6 bulan. Jadi, langgan pelan terbaru Xpax Unlimited sekarang dan nikmati rangkaian internet berkelajuan tinggi yang konsisten daripada Celcom. Untuk mengetahui lebih lanjut, terus ke pautan di bawah.

Penafian: Advertorial daripada Celcom

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd