Oneplus 9R telah dilancarkan sekitar pengujung Mac yang lalu dan ia merupakan sebuah peranti dengan janaan cip Snapdragon 870. Tidak lama kemudian timbul pula desas-desus mengenai kewujudan OnePlus 9RT. Spekulasi awal yang mengatakan peranti ini bakal hadir sekitar bulan Oktober, ternyata benar apabila ia telah disahkan oleh pihak OnePlus sendiri, baru-baru ini.
Lebih menariknya, laman sesawang peranti juga telah diperlihatkan secara langsung. Ia bukan sahaja mendedahkan tarikh pelancaran secara khusus yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober ini. Dalam masa sama, rekaan fizikalnya turut sama didedahkan. Jelas kelihatan, ia lengkap dengan modul kamera berbentuk segi empat bersama sistem tri-kamera di belakang. Modul kameranya ini kelihatan sedikit berbeza dengan model OnePlus 9R sebelum ini.
Meskipun, rekaan untuk panel hadapan masih menjadi Namun begitu, kita boleh menjangkakan peranti ini akan mempunyai paparan berlubang sama seperti kebanyakan peranti OnePlus sedia ada. Jenis panel pula adalah AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dipercayai menggunakan cip Snapdragon 888, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dan bateri 4,500mAH yang menyokong pengecasan 65W.
Tidak habis disitu, OnePlus 9RT juga dipercayai hadir dalam beberapa pilihan warna seperti perak, hitam dan biru. Untuk harga jualan pula, peranti ini besar kemungkinan akan dijual sekitar RMB2,000 (~RM1,297) dan RMB3,000 (~RM1944). Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak untuk perkembangan lebih lanjut mengenai peranti ini.
Sumber : OnePlus China