Carian
Ulasan Logitech G335 Wired Gaming Headset – Selesa Dan Mampu Milik Tapi Audio Sederhana
October 11, 2021 Amy Maizuraa

Ketika ini boleh dikatakan pasaran semakin rancak dibanjiri lautan fon telinga nirwayar. Namun begitu, tidak bermakna populariti fon kepala semakin tenggelam. Sebaliknya, aksesori ini masih mempunyai penggemar tegar yang tersendiri dan setiap satu daripadanya memiliki penggunaan yang pelbagai. Misalnya seperti menonton video, mendengar podsiar, tujuan telesidang, bermain permainan video dan sebagainya. Sehubungan itu, artikel ulasan kami kali ini adalah berkenaan satu fon kepala daripada Logitech.

Dinamakan sebagai Logitech G335 Wired Gaming Headset, secara amnya ia adalah fon kepala yang cukup ringan, selesa dan sesuai untuk penggunaan yang pelbagai. Melengkapinya juga adalah reka bentuk bergaya dengan pilihan warna menarik. Namun begitu, masih ada beberapa kekurangan yang perlu ditambah baik, namun ia masih fon kepala yang baik pada harganya. Untuk ketahui lanjut mengenai pengalaman kami tentang fon kepala daripada Logitech ini, teruskan membaca sehingga ke penghujung.


Spesifikasi Audio:

JenisFon Kepala Berwayar
Pemandu Audio40mm Neodymium Drivers, Discord Certified
Tindak Balas Frekuensi20 Hz-20 KHz
KeserasianPC, Xbox, PlayStation, Nintendo Switch & peranti mudah alih dengan bicu audio 3.5 mm
Saiz189mm x 180mm x 79mm
Berat240 gram (termasuk kabel)
WarnaBlack, White
HargaRM269

Reka Bentuk & Bahan Binaan:

Logitech G335 Wired Gaming Headset merupakan sebuah fon kepala yang ringan dengan berat sekitar 240 gram. Ini sekaligus menjadikannya sangat selesa ketika digunakan, pada masa sama langsung tidak memberi tekanan di kepala mahupun telinga. Kemudian, ia juga mempunyai reka bentuk cukup kemas dengan bahan berasaskan plastik bersama bahagian rangka atas yang lengkap dengan angkup kepala (head band).

Untuk makluman, angkup kepala (head band) ini diperbuat daripada fabrik lembut dan ia boleh dilaras atau ditanggalkan mengikut keselesaan pengguna. Mungkin, ada sebahagian pengguna yang beranggapan bahan plastik yang digunakan menjadikannya nampak murah. Tetapi, masing-masing perlu berkompromi kerana ia sesuai dengan harga jualan yang ditawarkan.

Bahagian penutup telinga turut sama diperbuat daripada fabrik, yang mana boleh dikatakan mampu bertahan lama berbanding bahan berasaskan kulit. Pada penutup telinga kiri, anda akan perasan adanya roda kecil yang boleh digunakan untuk mengubah tahap kelantangan audio. Ini juga adalah satu-satunya kawalan yang ada kerana audio pada Logitech G335 Wired Gaming Headset tidak boleh dilaraskan menerusi sebarang perisian dalaman.

Kemudian, fon kepala ini turut dilengkapi bicu audio 3.5mm yang boleh digunakan pada komputer peribadi, konsol dan peranti yang mempunyai port berkenaan. Jika sebaliknya, anda perlu membeli penyesuai. Kemudian bagi komputer riba yang mempunyai dua bicu berasingan, pastikan anda menyambungkan fon kepala dengan kabel penyambung tambahan yang tersedia dalam kotak pembelian untuk memisahkan input audio dan mikrofon.

Pada bahagian yang sama, anda juga akan temui adanya mikrofon yang tidak boleh ditanggalkan. Sebaliknya, ia hanya boleh dilipat ke atas dengan kemas seandainya tiada keperluan untuk digunakan. Tidak ketinggalan, ia juga menawarkan pilihan flip-to-mute untuk digunakan bagi membisukan audio secara automatik. Merujuk kepada laman rasmi, Logitech G335 Wired Gaming Headset ditawarkan dalam beberapa pilihan warna seperti Black dan White.


Penggunaan & Kualiti Audio:

Harus kami akui, pemakaian di kepala adalah selesa dengan penutup telinga yang mampu terletak elok. Ikhlas kami katakan, binaan yang ringan juga membuatkannya langsung tidak terasa ketika digunakan pada kepala – meskipun untuk penggunaan jangka masa panjang.

Namun begitu, penutup telinganya tidak mampu untuk menapis audio luar dengan baik. Ini disebabkan oleh fon kepala ini tidak dilengkapi pembatalan hingar aktif atau mana-mana sokongan teknologi audio. Di samping itu, pengguna juga seharusnya sedar bahawa rangkanya tidak boleh dilaras. Oleh sebab itu, Logitech G335 Wired Gaming Headset mungkin tidak sesuai untuk semua orang – lebih-lebih lagi bagi seseorang yang berkepala besar.

Bercakap mengenai kualiti audio, pada hemat kami profil audio pada Logitech G335 Wired Gaming Headset lebih memfokuskan kepada nada yang tinggi. Di mana, vokal dan nada yang tinggi kedengaran sangat jelas serta terperinci. Lebih-lebih lagi apabila digunakan untuk telesidang atau bersembang bersama rakan-rakan di dalam sesi permainan yang panjang.

Pada masa sama, bunyi tembakan dan tapak kaki musuh dari kesemua arah sewaktu sesi permainan juga sememangnya jelas untuk didengari. Dalam erti kata lain, ia seolah-olah meletakkan pengguna berada di dalam permainan itu sendiri. Ini sekaligus, memberikan pengalaman yang sangat menarik dengan nilai tambahan yang baik pada fon kepala ini.

Setakat artikel ini ditulis, kami juga berpuas hati dengan sokongan mikrofonnya. Logitech G335 Wired Gaming Headset dilengkapi sokongan mikrofon Cardioid yang melepasi piawaian untuk digunakan dengan Discord. Secara amnya, ia berfungsi cukup baik dan mampu menangkap suara dengan jelas. Bukan itu sahaja, panggilan suara juga boleh dilakukan dengan baik tanpa masalah. Di mana, penerima menyatakan kualiti audio adalah cukup jelas untuk didengari.

Meskipun pada mulanya kami memuji tetapi perlu anda tahu bahawa masih ada seperkara yang mungkin kurang menyenangkan. Di mana, kami mendapati deruman bass tidak begitu memuaskan dan agak lemah. Rasanya dalam bahasa kasar boleh dikatakan seakan langsung tiada. Sehinggakan, aksi tembak-menembak atau kesan dentuman bom dalam sesi permainan video menjadi kurang memuaskan. Sekaligus, ia menyebabkan pengalaman permainan menjadi tidak cukup mendalam.


Kesimpulan:

Sebagai kesimpulan, Logitech G335 Wired Gaming Headset adalah fon kepala yang baik dalam kelasnya. Di sini, kami tidak mengatakan yang mana prestasi audionya itu benar-benar terbaik. Tetapi, ia mempunyai kualiti audio di tahap yang boleh diterima, kelantangan suara memuaskan dan pengalaman penggunaan yang baik-baik sahaja.

Dalam pada itu, pujian juga boleh diberikan untuk reka bentuknya yang cukup selesa digunakan apabila berada di telinga. Sekiranya anda jenis yang gemar mendengar atau bermain permainan video dengan kelantangan audio di tahap sederhana. Anda pastinya akan berpuas hati dengan prestasi fon telinga ini.

Cumanya, jika sokongan bass pada fon kepala ini boleh dikawal atau diubahsuai untuk pengalaman yang lebih baik. Ia mungkin akan lebih memuaskan – terutamanya bagi penghasilan dentuman yang mengasyikkan. Sekiranya anda sedang mencari sebuah fon kepala yang selesa pada harga mampu milik dengan kemampuan audio yang sederhana. Fon kepala ini mampu sahaja berfungsi di tahap yang memuaskan.

Bagi yang berminat, Logitech G335 Wired Gaming Headset dijual pada RM269 dengan dua pilihan warna Black dan White. Anda boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian rasmi Logitech hari ini juga.


Pro

  • Ringan & selesa untuk penggunaan yang lama.
  • Headband yang berwarna ceria.
  • Membisu audio secara automatik apabila mikrofon dilipat keatas.
  • Kabel bicu audio 3.5mm yang boleh digunakan pada pelbagai peranti.

Kontra

  • Tidak sesuai untuk semua pengguna.
  • Prestasi audio sederhana.
  • Audio tidak boleh dilaraskan menerusi sebarang perisian.
Komen