Cari @ Amanz

Learn From Home (LFH) merupakan program di bawah Yayasan YTL (YTL Foundation) dengan kerjasama YES dan FrogAsia. Program ini menyediakan pelbagai kandungan pembelajaran dan data percuma buat pelajar. Dalam perkembangan terkini, Yayasan YTL dengan sukacitanya mengumumkan bahawa tempoh program berkenaan dilanjutkan sehingga September 2022. Walau bagaimanapun, pengguna perlu mendaftar lanjutan ini sebelum 16 Oktober 2021.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif ini, YES menyediakan data percuma sebanyak 7GB/sebulan selama setahun untuk semua mahasiswa. Bersama-sama dengannya, para pelajar akan menerima satu kad SIM prabayar YES secara percuma tanpa sebarang kontrak mahupun bayaran pendahuluan. Buat masa ini, ia terbuka kepada 36 buah pusat pengajian di Malaysia termasuklah Universiti Malaya (UM). Bagaimanapun, Yayasan YTL memaklumkan pihaknya sungguh berbesar hati untuk bekerjasama dengan lebih banyak pusat pengajian pada masa mendatang.

Merujuk laman sesawang rasmi, insiatif ini turut sama ditawarkan buat pelajar daripada keluarga B40 dan guru yang berdaftar di bawah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (National Union of the Teaching Profession). Melaluinya, semua pelajar yang berdaftar di sekolah kerajaan Malaysia layak untuk menikmati bahan pembelajaran dalam talian dan data mudah alih sebanyak 7GB/bulan secara percuma sehingga September 2022.

Sementara itu, guru pula boleh menikmati data mudah alih sebanyak 40GB secara percuma untuk tempoh sah dua bulan. Pada masa sama, YES turut menawarkan data mudah alih percuma sebanyak 30GB dengan hanya RM15 untuk lebih pilihan. Untuk menebus dan melanjutkan inisiatif, anda boleh layari laman sesawang rasmi Yayasan YTL.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd