Realme GT Neo 2T akan menjadi penawaran terkini daripada Realme di bawah siri GT. Peranti ini juga telah disahkan bakal dilancarkan di China pada 19 Oktober depan. Seiring dengannya, rekaan pada peranti kini telah dikongsi menerusi poster promosi rasmi.
Sekali imbas, ia mirip dengan pendahulunya iaitu Realme GT Neo dengan perbezaan terletak pada kemasan lebih minimalis. Melaluinya, ia menampilkan modul kamera berbentuk segi empat lengkap dengan sistem tri-kamera di belakang. Penggunaan sensor 64MP juga masih menjadi pilihan Realme pada peranti ini.
Seterusnya, ia juga dilengkapi bicu audio 3.5mm, port sambungan USB-C dan pembesar suara mono pada bahagian bawah. Butang laras audio dan ruangan untuk slot SIM diletakkan pada sisi yang sama. Sementara itu, butang kuasa pula berada di sisi bertentangan – ekoran tiada bayangan yang menunjukkan kewujudannya pada sisi berkenaan. Rekaan panel hadapannya bagaimanapun masih menjadi misteri setakat ini.
Poster rasmi turut menunjukkan Realme GT Neo2T akan hadir dengan kemasan bewarna putih atau nama saintifknya Glaze White. Tetapi sudah pastinya ia tidak terhad di situ kerana kita boleh menyasarkan beberapa warna lain turut akan ditawarkan sebagai pilihan buat pengguna.
Untuk spesifikasi, Realme GT Neo2T dijangka menggunakan skrin AMOLED beresolusi FHD+, cip mediaTek Dimensity 1200, kamera swafoto 16MP, pengimbas cap jari sisi dan menjalankan Realme UI 3.0 berasaskan Android 11. Sejauh mana kebenarannya, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Weibo