MediaTek ialah jenama pembuat cip pemprosesan peranti mudah-alih yang sebelum ini dikenali untuk menguasakan peranti-peranti kelas mampu-milik dan pertengahan. Dengan pengenalan siri cip pemprosesan MediaTek Dimensity, khususnya Dimensity 1200, MediaTek telah memberi pengguna pilihan dari segi peranti dengan prestasi kelas premium pada kelas mampu-milik seperti Xiaomi 11T, Vivo X70 dan OnePlus Nord 2.
Terkini, butiran mengenai CPU Dimensity terbaru MediaTek, iaitu Dimensity 2000 telah tertiris ke arena internet. Sebelum ini, terdapat ura-ura bahawa ia akan berasaskan cip Arm v9 yang dibina menggunakan proses 4nm oleh TSMC, sama seperti ura-ura yang mana cip Samsung Exynos 2200 dan Qualcomm Snapdragon akan dibina menggunakan proses 4nm juga, dimana cip Samsung akan dibina oleh mereka sendiri.

MediaTek Dimensity 2000 akan hadir dengan lapan teras, dimana teras utamanya ialah cip ARM Cortex-X2 dengan kelajuan 3.0GHz, yang merupakan penaiktarafan terus kepada ARM Cortex-X1. Selain daripada itu, cip Dimensity 2000 ini juga akan menggunakan tiga teras ARM Cortex-A710 dan empat teras ARM Cortex-A510.
Dari segi penawaran grafik, cip Dimensity 2000 ini juga akan hadir dengan cip grafik Mali G710 yang dikatakan lebih berkuasa daripada penawaran Mali G78 sebelum ini. Dengan spesifikasi ini, MediaTek dijangka akan memberi saingan yang cukup sengit kepada siri CPU kelas premium yang ditawarkan oleh Samsung dan juga Qualcomm.
MediaTek dijangka akan melancarkan cip pemprosesan Dimensity 2000 mereka pada penghujung tahun ini, dan ia cukup menarik untuk melihat peranti-peranti yang akan menggunakan cip pemprosesan ini kelak.
Sumber: Gizchina