Samsung akhirnya memulakan program ujian One UI 4.0 berasaskan Android 12 pada peranti di dalam siri Galaxy S21 mereka hari ini. Pada waktu ini pengguna peranti Galaxy S21, Galaxy S21+, dan Galaxy S21 Ultra di Amerika Syarikat, China, India, Jerman, Korea Selatan, Poland, dan United Kingdom sahaja boleh memohon untuk menguji.
One UI 4.0 akan menyertakan ciri widget yang lebih menarik, tumpuan yang lebih kepada privasi, akses kepada aplikasi yang lebih terperinci dan kustomasi ke atas antaramuka peranti yang lebih menyeluruh. Dengan kata lain kesemua ciri menarik pada Android 12 akan diterapkan kepada One UI 4.0 apabila ia dilancarkan kelak.
Tahun lalu kemas kini One UI 3.0 dengan Android 11 mula diberikan pada bulan Disember. Sekiranya ujian One UI 4.0 Beta berjalan lancar, kemungkinan besar One UI 4.0 versi akhir akan diberikan pada bulan yang sama.