ColorOS 12 akhirnya dilancarkan untuk pasaran global. Ia dibina berasaskan Android 12 dan Oppo telah mengambil keputusan untuk banyak menggunakan elemen Android asli Android 12 berbanding pesaing yang gemar membangunkan iterasi tersendiri berdasarkan fungsi/ciri asal Android.

Di Makmal Amanz, kami sudah menerima Oppo Find X3 Pro dengan ColorOS 12 beta sedia terpasang untuk diuji sejak minggu lepas lagi. Apa yang kami boleh katakan, walaupun masih ada persamaan dan pengalaman penggunaan ColorOS 11 – ia turut memberikan satu pengalaman yang lebih beroksigen. Dengan kata lain, ColorOS 12 memberi nafas baharu kepada peranti Oppo.
Apa yang ada dalam ColorOS 12 ini adalah apa juga yang anda akan lihat dalam OxygenOS 12 akan datang.
Rekaan sama tapi, tak serupa
Sekali pandang ColorOS 12 akan kelihatan sama sahaja dengan ColorOS 11 atau 10. Tetapi sejak tahun lepas, sistem operasi oleh Oppo ini secara perlahan telah bergerak ke arah Android asli dengan menggunakan banyak elemen asal Android dan hanya mempunyai perubahan kecil sahaja seperti rekaan antaramuka.

Walaupun tidak ada penggunaan Material You, tetapi penggunaan satu tangan dengan rekaan teks lebih besar serta ikon yang lebih kemas memberikan rekaan lebih moden kepada sistem operasi ini dan mempunyai satu pengalaman penggunaan yang lebih tenang. Susunan pada tetapan, lebih banyak penggunaan aplikasi Google serta ada keunikan tersendiri yang tidak lagi ditawarkan oleh OnePlus.
Walaupun begitu, mereka yang sudah biasa dengan ColorOS atau Realme UI tidak akan dapat rasakan perbezaan yang banyak. Tetapi jika daripada peranti jenama lain, perbezaan itu lebih jelas terasa lebih-lebih lagi mereka yang merindukan OxygenOS yang dahulunya memfokuskan penggunaan seakan Android asli.
Pengurus peranti dengan rekaan baharu?

Aplikasi sistem dan tetapan lain banyak yang masih sama, tetapi yang jelas ada bezanya adalah pengurus peranti atau Phone Manager. Aplikasi sistem ini kini lebih kemas dan ringkas. Tidak lagi serabut dengan pelbagai ikon berwarna, kotak-kotak alatan yang pelik-pelik dan lain-lain.
Sebaliknya, alatan tambahan diasingkan dalam tab lain untuk pengguna mempunyai kawalan tambahan terhadap peranti.
Sistem tema mengikut gambar latar
Untuk sistem tema, walaupun ia tidak mempunyai Color Dynamic atau monet yang terhad pada Pixel. Fungsi mengubah warna tema sistem mengikut gambar latar boleh digunakan. Dalam tetapan sistem, pengguna boleh pilih sama ada ingin menggunakan warna biasa atau warna yang dicadangkan berdasarkan warna-warna yang ada pada imej latar.

Bercakap lagi mengenai warna, mod tema gelap juga mempunyai kawalan tambahan – yang membenarkan pengguna memilih tiga jenis mod gelap daripada kelabu sehinggalah hitam OLED.

Fungsi penterjemahan skrin yang lebih baik
Semasa ColorOS 11 dilancarkan, Oppo telah bekerjasama dengan Google untuk mengintegrasikan Google Translate pada kawalan gestur tangkapan layar untuk peranti Oppo. Tatal tiga jari ke bawah untuk membuat pilihan teks dan Google Translate akan mula melakukan kerja dengan teks bahasa lain boleh diterjemah ke bahasan yang kita mudah faham.

Dalam ColorOS 12 pula, apa yang Oppo lakukan adalah menyediakan pintasan melalui Sidebar mereka yang diberi nama Screen Translate. Tatal dari sisi untuk buka Sidebar, pilih Screen Translate dan ia akan imbas teks pada keseluruhan skrin dan memulakan penterjemahan menggunakan sistem Google Translate.
Papan pemuka privasi
Antara ciri baharu Android 12 adalah papan pemuka privasi. Di dalam ini, pengguna boleh lihat aplikasi yang dipasang atau aplikasi yang sedia terpasang termasuk aplikasi sistem yang telah menggunakan komponen-komponen dan elemen penting dalam peranti seperti kamera, mikrofon, lokasi, storan, sistem dan lain-lain lagi.

Melaluinya, ia juga memaparkan dalam bentuk garis masa seperti pada pukul berapa akses ini digunakan. Lebih menarik, Oppo menggunakan terus papan pemuka privasi Android 12 tanpa perubahan tema atau ikon. Ia adalah fungsi Android asli secara terus.
Kongsi lokasi dengan lebih jitu
Lebih fokus kepada privasi lagi, Oppo turut memperlihatkan akses kepada lokasi jika diminta oleh aplikasi atau pelayar web. Sistem akan paparkan tetingkap dan meminta pengguna memilih akses lokasi yang mana, sama ada anggaran atau jitu. Pengguna akan dapat lihat visual peta dan anak panah dengan nama Approximate atau Precise.

Indikasi dan kawalan penggunaan kamera dan mikrofon
iOS 14 sudah memperkenalkan ciri ini, beberapa pengeluar peranti China juga sudah menawarkannya kini giliran Google untuk terus mengimplementasikan secara terus dalam sistem Android. Indikasi penggunaan kamera dan mikrofon ini akan memberi satu titik berwarna pada hujung atas skrin.

Ia seakan zaman kegemilangan lampu notifikasi LED, cuma ini adalah pada skrin. Pada talam notifikasi melalui akses kepada pintasan tetapan turut kelihatan fungsi untuk terus hidup atau matikan penggunaan mikrofon atau kamera ini. Bagi mereka yang skeptikal dengan privasi dan sekuriti Android atau Oppo, bolehlah terus tekan ikon ini untuk matikan kamera atau mikrofon.
Lain-lain
Widget

Panel pilihan widget pada peranti ini masih kekal sama. Ini kerana tidak ada banyak perubahan pada pelancar yang digunakan. Tetapi ada widget baharu daripada Android 12 iaitu Conversation. Jika anda ada terima SMS, mesej daripada aplikasi permesejan ataupun media sosial daripada rakan, ahli keluarga atau yang tersayang Android akan paparkan dalam bentuk Bubble jika diaktifkan.
Widget ini akan membenarkan anda memilih perbualan mana yang ingin disemat pada skrin utama pelancar.
Omoji
Omoji sudah lama ada sebenarnya. Pertama kali diperlihatkan pada peranti Oppo Find X dengan rekaan boleh luncur, tetapi fungsinya dihadkan di China sahaja. Terkini ia dibawakan ke pasaran global sebagai pesaing kepada Apple Memoji/Animoji dan Xiaomi Mimoji.
Ia menggunakan kamera swafoto dan cuba mengesan pergerakan wajah pengguna dan menghasilkan avatar 3D yang lucu, unik dan menepati personaliti pengguna. Tetapi ia masih belum tersedia dalam ujian beta ini dan hanya akan ditawarkan di masa akan datang.
Background Stream
Anda seorang yang kedekut untuk melanggan YouTube Premium? Atau kerap menggunakan aplikasi versi modifikasi? Dengan ColorOS 12 ini anda boleh henti lakukannya kerana dalam versi beta terkini yang tidak dapat kami uji ada fungsi Background Stream pada Sidebar.
Ia membolehkan pengguna mengunci peranti atau lakukan tugasan lain sambil audio daripada video dimainkan di latar. Ia turut berfungsi dengan Netflix dan Prime Video menurut beberapa media lain.
PC Connect
Huawei ada PC Manager, Realme pula ada PC Connect, manakala Xiaomi pula ada MIUI+, tapi Oppo bagaimana? Untuk ColorOS 12, Oppo memperkenalkan PC Connect untuk pengguna komputer Windows. Kali pertama fungsi baharu Oppo, Realme gunakannya dahulu pada RealmeBook mereka. Mungkin kerana Oppo tiada komputer riba lagi – tetapi Oppo memberi kebebasan mana-mana komputer Windows boleh gunakannya.

Perisiannya juga adalah PC Connect. Dalam ujian kami pada komputer RealmeBook, ia boleh disambungkan menggunakan imbasan kod QR. Tetapi buat masa ini ia hanya sekadar menyiarkan skrin sahaja dan tidak boleh lakukan fungsi lain.
Peralihan animasi lebih lancar dan prestasi lebih pantas
Oppo menggunakan enjin animasi tersendiri yang diberi nama Quantum Animation Engine 3.0. Melaluinya peralihan animasi adalah lebih lancar dan lebih pantas memberikan satu kesan prestasi yang lebih hebat. Turut terbina adalah penggalak sistem melalui kecerdasan buatan yang mempelajari corak penggunaan pengguna.

Dengan sistem pintar ini, ia mengurangkan 30% penggunaan memori sementara 20% penggunaan kuasa dapat dikurangkan. Disebabkan itu juga, ketahanan bateri boleh bertahan sehingga lebih 12%. Sudah tentu unit ujian kami adalah 12GB RAM dengan memori maya 7GB RAM yang menjadikannya 19GB RAM. Cip pemprosesan Snapdragon 888 pula sudah tentu tidak akan begitu jelas bezanya.
Ini akan membantu peranti kelas pertengahan seperti siri Reno dan ke bawah.
ColorOS 12 ini masih lagi dalam ujian beta. Peranti Find X3 Pro boleh mula uji sejak 11 Oktober lalu. Siri Find X2 dan Reno6 yang terpilih akan bermula pada November, manakala peranti lain yang lebih mampu milik ujian akan bermula pada Disember ini sehingga tahun 2022.
