Cari @ Amanz

Digital S-Bahn Hamburg ialah perkhidmatan kereta api pertama di dunia yang berfungsi secara swapandu. Bagi mereka yang mungkin terasa pelik apakah beza Digital S-Bahn Hamburg dengan LRT Kelana Jaya yang tidak menggunakan pemandu, sistem kereta api S-Bahn tidak memerlukan trek sendiri (single line) dan berfungsi bersama dengan kereta api biasa berpemandu dalam rangkaian yang sama.

Sistem ETCS (European Train Control System) dan ATO (Automatic Train Operation) telah digunakan untuk menjadikan perkhidmatan kereta api ini swapandu. Memandangkan ia menggunakan semula trek dan gerabak kereta api sedia ada, kos mengubah sistem ke swapandu hanya menelan belanja €60 juta (~RM288 juta) sahaja. Kepakaran Siemens Mobility digunakan untuk mengubah kereta api berpemandu kepada swapandu. Namun begitu seorang pemandu masih diletakkan di kabin bagi tujuan kecemasan.

Perubahan ke sistem swapandu akan dapat meningkatkan jumlah penumpang sehingga 30%, sekaligus mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan lalulintas. Pihak Deutsche Bahn merancang mengubah sistem kereta api di Hamburg kepada sistem swapandu sepenuhnya menjelang 2030.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd