Setelah berbulan di rumah, kembali bekerja di pejabat adalah situasi yang cukup memenatkan. Kembali terperangkap dalam kesesakan jalan raya, bersabar dengan pemandu yang memandu seperti otak sebesar kurma dan masa yang lama untuk tiba ke destinasi menyebabkan saya sendiri bertanya kepada diri sendiri mengapa selama ini saya bersabar. Menyedari situasi ini, Waze melancarkan ciri baharu yang diberi nama Headspace.

Dengan Headspace, Waze cuba menetapkan mod memandu setiap pengguna aplikasi mereka. Mod yang ditawarkan ialah Aware, Bright, Hopeful, Joyful, dan Open bagi memberikan ketenangan ketika memandu. Senarai main Spotify turut boleh distrim terus dari dalam aplikasi untuk memberikan pengalaman memandu yang lebih baik.
Selain itu ikon kereta boleh ditukar kepada belon udara panas dengan audio navigasi diberikan oleh Eve Lewis Prieto yang bukan sahaja mengarahkan pemandu ke jalan yang betul tetapi dipenuhi tips untuk menenangkan minda. Ini ialah ciri yang unik untuk norma baharu. Bagi mereka yang kini kembali trauma dengan perangai pemandu Malaysia yang teruk, Headspace mungkin boleh membantu.