Menerusi 1Password, kata laluan tidak lagi perlu diingati dan pengguna bebas menjana kata laluan yang sukar diteka bagi memastikan keselamatan kesemua akaun yang dimiliki. Tetapi kerana kata laluan tidak lagi diingati, kadang kala menjadi sukar untuk berkongsinya apabila diperlukan. Sebagai contoh kata laluan akaun Adobe kegunaan pejabat atau kata laluan WiFi di rumah.

1Password telah mengumumkan ciri baharu yang diberi nama Psst! (Password Secure Sharing Tool). Pautan boleh dijana dari dalam aplikasi 1Password kemudian dikongsi ke pelbagai platform pilihan seperti emel atau WhatsApp. Pemilik akaun boleh menetapkan hanya pengguna tertentu sahaja boleh melihat kata laluan yang dikongsi.
Secara lalai pautan akan dipadam selepas tujuh hari tetapi pengguna boleh menetapkannya dipadam selepas dilihat sekali, sejam, sehari, 14 hari atau 30 hari. Kepada pemilik akaun, mereka boleh melihat log aktiviti setiap perkongsian yang dilakukan. Antara yang dapat dilihat ialah tarikh luput pautan dikongsi, dengan siapa, IP mereka yang berkongsi, IP siapa yang mengakses pautan dan berapa kali pautan dilihat oleh insan yang dikongsi. Dengan kesemua ciri ini, perkongsian kata laluan adalah lebih mudah dan boleh dijejak juga dengan selamat.