Black Shark hari ini telah melancarkan siri Black Shark 4S mereka di pasaran China. Ia terdiri daripada Black Shark 4S dan Black Shark 4S Pro dengan rekaan serba baharu, spesifikasi yang ditambah baik serta ciri dan fungsi untuk permua yang lebih hebat berbanding model sebelumnya.

Black Shark 4S Pro
Peranti ini hadir dengan skrin 6.67 AMOLED E4 dengan resolusi FHD+ serta sokongan kadar segar semula 144Hz dengan kadar sentuhan 720Hz. Kecerahan boleh dicapai sehingga 1300 nits dan turut menyokong paparan HDR10+ dan MEMC. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 888+ dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 3.1 dengan teknologi seakan NVMe SSD sama seperti sebelum ini.

Peranti ini menggunakan rekaan baharu pada panel belakang yang memberikan elemen gaming yang lebih jelas sambil mengekalkan konsep rekaan yang minimalistik. Kerangka diperbuat daripada keluli dengan tekstur belakang daripada teknologi nanolitografi.


Skrin peranti turut mempunyai zon tekanan seakan 3D Touch untuk kawalan permua dengan kesan haptik yang kini mempunyai sistem baharu serta dapat mengesan tekanan serendah 160g. Sebagai sebuah peranti gaming sistem penyejukan juga telah diubah dengan rekaan berlapis sistem penyejukan cecair 360 darjah serta mempunyai sensor suhu untuk mengawal suhu peranti agar ia tidak panas.

Untuk butang bahu fizikal yang mereka perkenalkan pada Black Shark 4 sebelum ini, ia kini mempunyai 7 magnet dan diubah agar menjadi lebih jitu dan selesa untuk ditekan ketika sesi bermain. Tekanan setiap butang dikatakan lebih lembut dan turut boleh diubah untuk menjadi butang akses pintas kepada fungsi lain.
Untuk audio, sistem stereo dikekalkan dengan pemacu audio 15V melalui pembesar suara jenis lienar dan simetri serta ditala dan direka menggunakan algoritma yang lebih profesional.

Bateri adalah 4500mAh dengan pengecasan pantas 120W. Peranti turut menjalankan sistem operasi JoyUI 12.8 yang terkini. Kamera utama peranti pula adalah 64MP + 8MP + 5MP dengan kamera swafoto yang tidak didedahkan, tetapi mungkin kekal sama iaitu 20MP.

Black Shark 4S

Spesifikasi peranti ini juga adalah lebih kurang sama sahaja. Beza adalah pada storan dalaman yang menggunakan UFS 3.1 biasa tanpa teknologi NVMe SSD pada Pro. Selain itu cip pemprosesan adalah Snapdragon 870 yang lebih rendah kuasanya. Kamera pula adalah 48MP dan bukannya 64MP. Variasi ini turut mempunyai edisi khas, iaitu Gundam Edition dengan rekaan dan tema Gundam berwarna putih/biru.
Buat masa ini siri Black Shark 4S hanya dijual di pasaran China sahaja. Black Shark 4S ditawarkan dengan pilihan memori 8/128 GB pada harga RMB 2699 (~RM1743), 12/128 GB pada harga RMB 2999 (~RM1937), 12/256 GB pula pada harga RMB 3299 (~RM2130). Piihan warna adalah hitam atau putih. Manakala edisi Gundam ia hadir dengan variasi 12/256 GB dan dijual pada harga RMB 3299 (~RM2130).
Untuk Black Shark 4S Pro hanya ditawarkan dengan dua pilihan warna hitam atau putih sahaja. Versi 12/256 GB dijual pada harga RMB 4799 (~RM3099) dan 16/512 GB pula pada harga RMB 5499 (~RM3551).