Predator Orion 7000 Ialah Komputer Desktop Gaming Acer Pertama Yang Dikuasakan Siri CPU Intel Alder Lake

Diterbitkan pada Okt 14, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 mereka, Alder Lake tidak lama lagi, dan ia dijangka bahawa sejumlah besar jenama komputer akan memperkenalkan model-model komputer desktop mereka sendiri yang hadir dengan komponen tersebut.

Sewaktu acara Acer Global Press Conference yang sedang berlangsung, Acer telah memperkenalkan model komputer gaming desktop terbaru mereka yang dinamakan Predator Orion 7000, iaitu model Predator Orion terbaru mereka yang akan dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi ke-12 tersebut.

Predator Orion 7000 hadir dengan rekaan mid-tower yang cukup besar untuk merumahkan sejumlah komponen berkuasa didalamnya, tetapi cukup padat untuk diletak diatas atau dibawah meja dengan mudah. Menurut Acer, Predator Orion 700 ini akan hadir dengan penawaran CPU Intel Alder Lake yang boleh dilewahjam, sokongan untuk memori DDR5 terbaru sehingga 64GB, storan SSD NVMe sebesar 2TB dan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce sehingga RTX 3090.

Menyejukkan komponen-komponen dalam komputer desktop ini ialah gabungan sistem penyejukan cecair AIO dan juga dua kipas penyejuk Predator FrostBlade 2.0 bersaiz 140mm di hadapan dan satu kipas Predator FrostBlade 2.0 bersaiz 120mm di belakang komputer ini untuk mengalirkan haba keluar daripada komputer.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Alder Lake juga bermakna bahawa Predator Orion 700 akan menggunakan papan induk Intel Z690 yang hadir dengan sokongan teknologi penghantaran data PCIe 5.0 yang boleh dimanfaatkan oleh pemilik komputer ini di masa hadapan apabila AMD, NVIDIA ataupun Intel melancarkan kad grafik yang menggunakan format tersebut.

Selain daripada itu, ia juga hadir dengan sokongan WiFi 6E, dan juga ruang yang cukup banyak untuk pengguna menambahkan storan dalaman komputer sebanyak yang mungkin melalui dua slot M.2 PCIe 4.0, dan dua palam SATA III untuk storan cakera keras.

Dalam pada itu, komputer ini juga hadir dengan rekaan gelas terbaja di bahagian sisi dan hadapan supaya pengguna boleh melihat komponen dan juga pencahayaan RGB daripada penyejuk dan kipas-kipas didalam komputer ini.

Acer mengatakan bahawa Predator Orion 7000 ini akan mula ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih bermula suku pertama 2022 kelak pada tanda harga permulaan 2199 Euro.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami