Cari @ Amanz

Honor yang sebelum ini bergelut dengan pelbagai cabaran tidak enak. Kini, kembali melakukan kebangkitan menakjubkan untuk mengorak langkah yang lebih baik. Berbekalkan keinginan untuk mengulangi prestasi yang sama, Honor meningkatkan keyakinan ramai pengguna dengan mengembalikan sokongan Google Mobile Services (GMS) pada peranti mereka yang ditawarkan di pasaran global. Salah satu daripadanya adalah model Honor 50 dan ia telah diumumkan secara rasminya untuk pengguna di Malaysia.

Peranti ini dikatakan mampu untuk memenuhi keperluan pengguna muda hari ini menerusi ciri serta fungsi yang disertakan. Antaranya termasuklah reka bentuk serba bergaya dan keupayaan kamera yang pelbagai. Di kesempatan ini, kami turut diberi peluang untuk meneroka peranti berkenaan, selain mencuba sendiri ciri serta fungsi yang terdapat padanya. Adakah pembaharuan yang dibawa oleh Honor mampu membuatkan anda harus membeli peranti ini? Teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Telefon PintarHonor 50
Skrin 6.57-inci OLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~392 ppi)
PemprosesSnapdragon 778G 5G (6 nm)
1 x 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 x 2.2 GHz Kryo 670 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 670 Silver)
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera UtamaUtama – 108MP (f/1.9)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-2MP (f/2.4)
Bokeh-2MP (f/2.4)
Kamera Swafoto32MP (f/2.2)
Bateri4,300mAh
Pengecasan Pantas Berwayar 66W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Imbasan Wajah
Harga JualanRM 1699/1999

Rekaan Dan Skrin

Tidak dinafikan, rekaan peranti pada hemat kami memberi kelebihan buat Honor untuk penawaran kali ini. Harus kami akui, ia cukup mencuri tumpuan kerana rekaannya dilengkapi elemen yang sedap mata memandang. Ia mempunyai sisi membulat dan bingkai atas serta bawah yang rata. Ia juga merupakan sebuah peranti yang cukup nipis dan ringan, sekaligus memudahkan proses penggunaan dalam apa jua situasi. Sepanjang ulasan ini, kami juga sering meletakkannya di dalam poket belakang dan ia langsung tidak menyebabkan ketidakselesaan. Kami turut menyukainya kerana langsung tidak terasa murah dan direka dengan baik.

Binaan belakang memiliki kemasan yang berbeza mengikut pilihan warna yang ditawarkan. Unit di tangan kami adalah berwarna Frost Crystal yang menampilkan gabungan kemasan berkilau bersama sedikit pantulan cahaya pelangi. Menurut Honor, ia diinspirasikan daripada salju kristal dengan sentuhan unik seakan berlian yang berkilau. Jika mahukan lebih pilihan, Honor 50 juga turut ditawarkan dengan warna lain seperti Honor Code yang mana jenama ini tidak terkecuali menampilkan kelainan untuk memenuhi kehendak pengguna yang gemar berfesyen. Kemudian, terdapat juga warna Emerald Green dan Midnight Black yang mengetengahkan penampilan lebih elegan serta klasik.

Mungkin pada pandangan mata kasar, ada yang beranggapan Honor 50 di tangan kami ini menggunakan material dengan kemasan berasaskan matte. Ternyata silap, sebaliknya ia diperbuat sepenuhnya daripada bahan plastik yang berkilat. Ini menjadikannya sedikit licin dan mudah tergelincir daripada genggaman tangan – terutamanya apabila tangan sedang basah atau berpeluh. Pada masa sama, ia juga memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Tetapi, ia tidaklah begitu teruk sehinggakan anda perlu sentiasa membersihkannya dengan kerap. Bagaimanapun dalam situasi sebegini, penggunaan kerangka adalah amat disarankan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku pada peranti. Misalnya seperti risiko kerosakan yang berpunca daripada kecuaian anda sendiri.

Honor 50 mempunyai dwi-bonggol kamera. Salah satu daripadanya dipadankan dengan satu lensa gergasi. Sementara itu, satu lagi bonggol dimuatkan dengan tiga lensa kecil bersama LED Flash. Percaturan Honor ini menerima reaksi yang bercampur baur, malah boleh dikatakan menjadi topik hangat dibincangkan kebanyakan pihak termasuklah kami sendiri. Memang kelihatan agak aneh dan pelik, tapi ia masih unik dengan elemen berbeza. Ditambah lagi dengan adanya.

Seterusnya, rekaan panel hadapan menunjukkan terdapatnya lubang yang kecil untuk kamera swafoto. Ia boleh ditemui pada bahagian tengah skrin. Bagi yang kurang menggemari kewujudannya, pilihan Hide Cutout tersedia menerusi ruangan tetapan. Namun, apa yang boleh kami katakan, ia akan memberikan pandangan lebih buruk disebabkan oleh bar hitam besar yang muncul. Kualiti skrin yang dipaparkan kelihatan cukup cantik, terang, jelas dan bermaya menerusi penggunaan panel sejenis OLED FHD+ (2340 x 1080 piksel) bersaiz 6.57-inci.

Pada kami, ia tidak mendatangkan sebarang masalah dari segi saiz kerana ianya cukup besar dan mampu memberikan pengalaman yang baik. Pengalaman penggunaan juga adalah memuaskan dengan skrin 120Hz yang mana dirasakan cukup baik dalam menjadikan peranti terasa cukup pantas. Malahan, proses tatalan juga lancar dan kebanyakan aplikasi serta peralihan anismasi juga mampu beroperasi dengan baik.

Seperkara lagi, peranti turut menyokong piawaian HDR untuk kandungan YouTube dan dilengkapi pengesahan Widevine L1. Aplikasi seperti Netflix, Amazon Prime dan Disney+ boleh dimuat-turun tanpa masalah kerana adanya GMS. Namun begitu, isu yang kami temui adalah aplikasi Netflix tidak boleh memainkan kandungan video berkualiti HD dan HDR. Sebaliknya, terhad pada SD sahaja.

Keadaan ini juga berlaku mungkin disebabkan Honor masih belum bekerjasama dengan Netflix untuk sokongan ini. Walau bagaimanapun, mesra kami ingatkan keadaan ini berlaku pada unit ulasan kami. Mungkin akan ada kemaskini pada masa mendatang atau ada kemungkinan juga tidak berlaku pada peranti yang dipasarkan kelak.

Seterusnya, skrin jenis melengkung menjadi pilihan Honor. Ia bagi membolehkan peranti kelihatan seakan mempunyai binaan bezel yang nipis pada bahagian sisi kiri dan kanan. Bukan itu sahaja, bezel pada bahagian dagu dan dahi juga adalah baik dan nipis bagi mewujudkan situasi yang seimbang. Namun, apa yang kurang menyenangkan, isu video melimpah keluar akan berlaku di sini, sehinggakan pengalaman tontonan video dalam mod skrin penuh agak mengganggu.

Selain itu, fungsi lain yang turut disertakan adalah sistem pengimbas cap jari yang terbina dalam skrin. Pujian diberikan untuk kebolehannya berfungsi dengan baik bersama tindak balas yang tepat. Di samping itu, kadar masa menyahkunci yang ditawarkan juga berada pada tahap memuaskan. Namun begitu, anda perlu memastikan jari sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Sebagai alternatif, tetapan untuk sistem imbasan wajah turut disediakan.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio. Kesemua butang ini dibina dengan cukup baik dan seronok ditekan. Kemudian, sisi bertentangan pula dilihat kosong tanpa sebarang butang. Ruang slot SIM boleh dijumpai pada bahagian bawah, di samping pembesar suara mono, lubang mikrofon dan port sambungan USB-C. Honor 50 hanya menyokong slot dwi-sim tanpa kebolehan ruang memori tambahan menerusi kad mikroSD. Akhir sekali, terdapatnya dua lagi lubang mikrofon di bahagian atas dan tiada bicu audio yang disertakan.


Penggunaan Dan Perisian

Honor 50 menggunakan sistem operasi Android 11 dengan antaramuka Magic UI 4.2. Antaramuka kelihatan ringkas dan dioptimumkan dengan baik bagi memudahkan penggunaan. Rekaan ikon juga minimalis dengan warna yang ceria. Ia juga boleh diubah mengikut kehendak pengguna menerusi tetapan. Seterusnya, ia juga memberikan sehingga sembilan pilihan tema secara terbina tanpa kebolehan memuat-turun tema luaran.

Ia juga menawarkan ciri Always-On Display (AOD) yang boleh diubahsuai dengan banyak yang tema artistik. Bercakap mengenai bloatware pula, masih terdapatnya aplikasi yang sedia terpasang seperti aplikasi Booking.com Hotels, Trip.com, TikTok dan Facebook. Bagaimanapun, ia masih boleh dibuang sekiranya tidak diperlukan. Dari segi prestasi, ianya cukup baik dan lancar.

Seterusnya, Honor 50 dijana oleh Snapdragon 778G yang merupakan cip yang sama boleh ditemui pada Realme GT Master Edition, Xiaomi 11 Lite NE 5G dan Samsung Galaxy A52s. Ia juga dipadankan dengan sokongan GPU Turbo X untuk peningkatakan prestasi permainan lebih stabil, di samping penggunaan kuasa secara optimal. Unit ulasan kami dilengkapi memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB tanpa sebarang sokongan ruangan tambahan menerusi kad microSD. Ia adalah konfigurasi yang sangat baik.

Seperkara lagi yang perlu untuk anda tahu, Honor 50 didatangkan lengkap dengan sokongan Google Mobile Services (GMS). Kami pasti ramai pengguna yang pastinya gembira dengan kewujudan GMS. Dengan ini, segala aplikasi dan perkhidmatan dari GMS kegemaran seperti Google Playstore, YouTube, Maps, Mail atau mana-mana aplikasi yang memerlukan log masuk Google, kini tiada masalah untuk diakses. Sekali lagi dikatakan, tiada isu yang besar di sini.

Dalam ujian Geekbench 5, Honor 50 mencatatkan 784 (satu-teras) / 2,941 (pelbagai-teras) markah, sementara itu ujian Antutu 3D pula mencatatkan sebanyak 404,937 markah. Kami akui, peranti mampu berfungsi dengan baik dan terasa pantas sewaktu digunakan. Kami tidak mempunyai masalah dengan peranti dalam penggunaan pelbagai tugas harian, bahkan bermain permua juga terasa memuaskan. Begitu juga dengan kebanyakan aplikasi, di mana proses membuka, menukar serta peralihan animasi terasa baik sahaja.

Terdapat beberapa permua yang sempat diuji dan kami akan nyatakan satu persatu tetapan yang disokong oleh peranti ini. Untuk Mobile Legend Bang Bang (MLBB), ia menyokong sehingga tetapan tertinggi High dengan sokongn HD dan HFR yang diaktifkan. Seterusnya, Call Of Duty (COD) pula menyokong tetapan lalai pada grafik . Akhir sekali, PUBG Mobile pula mempunyai tetapan lalai pada HD (grafik) / High (kadar bingkai). Ia juga menyokong tetapan mencapai kadar bingkai Extreme, tetapi hanya boleh dimainkan pada grafik Smooth. Menyentuh soal haba, terdapat isu panas masih berlaku untuk beberapa sesi permainan dan penggunaan yang agak lama. Tetapi, ia masih boleh diterima dan tidaklah teruk yang melampau.


Telefoni Dan GPS

Peranti mempunyai prestasi yang baik. Kami tiada masalah dengan rangkaian secara keseluruhan. Di mana, tiada isu untuk mendapatkan isyarat yang stabil untuk 4G. Panggilan suara juga adalah jelas, di samping penerima turut menyatakan kualiti audio yang didengari adalah baik. GPS juga adalah baik sahaja dan tiada masalah untuk mengunci lokasi.


Keupayaan Kamera

Honor 50 menggunakan sistem kuad-kamera di bahagian belakang. Melaluinya, ia dibekalkan dengan sensor 108MP, 8MP lensa ultra sudut lebar 8MP, lensa bokeh 2MP dan lensa makro 2MP. Kemudian, gambar swafoto pula boleh diambil menerusi kamera hadapan 32-Megapixel. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 30FPS untuk kamera utama, manakala hanya menyokong rakaman 1080P sahaja yang boleh merakam pada kadar 30FPS.

Antaramuka kelihatan mudah untuk difahami dan tiada langsung masalah untuk mengakses setiap mod kamera yang tersedia. Mod-mod kamera yang disertakan adalah amat banyak seperti Night, Portrait, Aperature, Super Macro, Time Lapse, Pro, High Res, Document, Panorama dan Stickers. Tidak habis disitu, kamera pada Honor 50 turut membolehkan rakaman pelbagai dibuat dengan mod sepeti berikut :

  • Rakaman Dual-view (Depan / Belakang) – Mod yang membolehkan video dirakam menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Hasil rakaman untuk kedua-dua sudut kamera akan dipaparkan secara bersebelahan.

  • Rakaman Dual-view (Belakang / Belakang) – Konsepnya sama seperti tadi. Tetapi, ia boleh menggunakan kamera sudut-ultra lebar dengan kebolehan zum sebanyak 6X untuk lebih dekat dengan subjek. Hasil rakaman kedua-dua sudut kamera juga akan dipaparkan secara bersebelahan

  • Rakaman Picture In Picture – Mod yang membolehkan rakaman dibuat dalam tetingkap terapung dengan kamera hadapan, kemudian paparan lebih besar pula menggunakan kamera utama. Ia sangat berguna bagi membolehkan penonton melihat kandungan anda dengan lebih fokus.

  • Fast -Motion Recording & Slow Motion Recording – Mod yang membolehkan subjek atau objek dirakam dengan efek laju mahupun perlanan – ia berguna bagi menjadikan sesebuah video nampak lebih unik.

  • Rakaman Depan Ke Belakang – Kamera pada Honor 50 juga membolehkan pengguna untuk melakukan rakaman dan menukarnya dalam masa yang sama.

  • Rakaman Story – Berfungsi seakan aplikasi suntingan video terbina. Terdapat sehingga sembilan template terbina yang disediakan. Panjang video adalah bergantung pada templete dan maksimum adalah 15 saat yang mana sesuai untuk dimuat-naik terus ke instastory.

Kamera dilihat mampu memberikan hasil gambar yang baik. Memfokus pada subjek juga adalah pantas dan mudah untuk mengambil gambar. Setiap tangkapan terhasil kelihatan baik dengan perincian butiran pada subjek yang memuaskan. Penghasilan semula warna juga boleh diterima. Kecuali, sewaktu berada di dalam keadaan yang kurang cahaya. Di mana, perincian butiran pada subjek mula berkurang.

Sesetengah situasi tertentu juga mudah menampak hingar dan penghasilan semula warna agak mengecewakan. Bukan itu sahaja, sumber cahaya dalam sesetengah keadaan juga menjadi terlalu terang. Prestasi bokehnya pula kelihatan sangat kemas apabila ditelilti pada bahagian sisi objek. Dengan sensor makro 2MP, kualiti gambarnya seperti yang dijangkakan iaitu kurang memuaskan tetapi boleh diterima. Zum digital pula mampu menghasilkan gambar yang baik sehingga 5X.


Ketahanan Bateri

Honor 50 dilengkapi bateri sebesar 4,300mAh . Dalam penggunaan paling sederhana, ia mampu mencatatkan SOT mencapai 11 jam, manakala penggunaan berat pula memperlihatkan catatan SOT sekitar 6 jam. Harus diingatkan purata jangka hayat ini semestinya berbeza bergantung pada penggunaan masing-masing. Untuk pengecasan semula, ia boleh dibuat sekitar 47 minit dengan pengecas berkuasa 66W yang disediakan oleh Honor di dalam kotak pembelian.


Perbandingan Pesaing Peranti

Honor 50 Realme GT Master Edition Xiaomi Mi 11 Lite 5G NE
6.57-inci OLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~392 ppi)6.43-inci, Super AMOLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi) 6.55″ AMOLED
FHD+, 90Hz, Dolby Vision
Snapdragon 778G 5G (6 nm)
4 x2.4 GHz Kryo 670
4×1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G 5G (6 nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G 5G (6 nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
8GB RAM
256GB ROM
8GB RAM
256GB ROM
6/8GB RAM
128/256 GB ROM
Utama – 108MP (f/1.9)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f2.4)
Utama – 64MP (f/1.8)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-2MP (f/2.4)
Utama – 64MP (f/1.8)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-5MP (f2.4)
32 MP (f/2.5)32 MP (f/2.2)16 MP (f/2.5)
NFCNFCNFC
TiadaBicu audio 3.5mm Tiada
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
4,300 mAh
Pengecasan pantas 66W
4,300 mAh
Pengecasan pantas 65W
4,520 mAh
Pengecasan pantas 33W
RM1,699 (6GB/128GB)
RM1,999 (8GB/256GB)
RM1,499 (8GB/128GB)
RM1,699 (8GB/256GB)
RM1,199
RM1,399
RM1,599

Kesimpulan:

Kesimpulannya, telefon pintar Honor kini semakin ditambah baik. Honor 50 adalah peranti pintar yang baik lengkap dengan pakej serba boleh. Ia mempunyai sokongan kamera dengan mod yang pelbagai. Prestasinya juga kelihatan hebat dan realistik bergantung pada situasi. Kemudian, paparan skrin yang cantik, jelas dan bermaya ternyata sangat memuaskan.

Sokongan sensor jari yang mampu mengecam jari dengan tepat dan prestasi keseluruhan peranti yang lancar juga boleh dipuji. Kembalinya sokongan GMS turut sama memberikan satu titik bonus padanya. Boleh dikatakan, inilah apa yang dinanti-nantikan oleh segenap pengguna. Dengan adanya GMS, pelbagai aplikasi kegemaran boleh dimuat turun menerusi gudang aplikasi Android Playstore tanpa masalah.

Cumanya, binaan skrin melengkung sering mengakibatkan isu tersentuh secara tidak sengaja. Selain itu, isu skrin melimpah juga berlaku sewaktu tontonan kandungan dalam mod skrin penuh. Kemudian, pembesar suara juga adalah sekadar mono juga yang merupakan satu kekurangan buat mereka yang mahukan kemampuan audio lebih baik. Ketiadaan bicu audio juga tentunya menyukarkan sesetengah pihak yang masih bergantung sepenuhnya dengan fon telinga jenis berwayar.


Pro :

  • Direka dengan baik bersama kemasan yang menarik.
  • Kamera yang baik untuk kebanyakan situasi.
  • Paparan skrin yang cantik, terang, jelas dan bermaya.Kadar segar semula 120Hz yang sangat membantu dalam penggunaan peranti yang lancar.
  • Menyokong Google Mobile Services.

Kontra :

  • Skrin melengkung yang menyebabkan kerap tersentuh secara tidak sengaja.
  • Bateri agak kecil.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Pembesar suara mono.
  • Aplikasi Netflix hanya boleh dimainkan pada kandungan dengan kualiti SD sahaja, meskipun peranti menyokong Widevine L1.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd