Beberapa hari lalu kami telah mengumumkan bahawa Apple Malaysia telah mengesahkan bahawa Apple Watch Series 7 akan dijual pada harga permulaan RM1749. Hari ini, ia dilihat bahawa rakyat Malaysia yang mahukan jam tangan pintar terbaru tersebut boleh membelinya dari kedai atas talian Apple Malaysia.
Apple Malaysia menawarkan dua model, iaitu model asas dengan kemampuan GPS biasa pada harga RM1749 tersebut, dan juga model GPS dan kemampuan selular melalui eSIM pada harga RM2199. Apple Watch 7 juga akan hadir dengan tali jam tangan yang boleh diubahsuai rekaan warnanya mengikut kehendak pengguna.

Perbezaan paling ketara diantara Apple Watch Series 7 dan Series 6 yang sudah dihentikan pengeluarannya ialah saiz paparan yang lebih besar, dan rangka yang lebih nipis, bersama-sama bateri yang dikatakan lebih besar, termasuklah muka jam baharu, sokongan papan kekunci pada skrin, sokongan ECG dan aplikasi oksigen dalam darah dan juga ketahanan bateri sepanjang hari.
Dari segi komponen, ia dilihat masih lagi menggunakan cip S6 sama pada jam Series 6, dan hadir dengan semua ciri-ciri yang sama seperti sebelum ini.
Bagi mereka yang berminat untuk membeli jam pintar terbaru Apple ini, anda boleh ke laman web Apple Malaysia sekarang.