Cari @ Amanz

Apabila wabak pandemik COVID-19 bermula pada tahun lepas, salah satu produk yang dilihat dijual dengan sangat banyak dan cepat secara global ialah komputer riba oleh syarikat-syarikat dan orang ramai yang semuanya mahu bersiap-sedia untuk realiti bekerja dan belajar dari rumah.

Kekurangan stok komputer riba ini juga melihat orang ramai mencari alternatif-alternatif lain di pasaran seperti peranti tablet dan Chromebook. Peranti Chromebook, bagi mereka yang tidak tahu mengenainya, secara ringkasnya ialah peranti dengan rupa dan rekaan sebuah komputer riba, tetapi menggerakkan sistem operasi ChromeOS keluaran Google yang cukup berkuasa untuk digunakan sebagai peranti yang memfokuskan kepada produktiviti harian dari luar pejabat.

Acer, melalui acara Acer Global Press Conference mereka telah memperlihatkan satu statistik yang sangat menarik berkenaan pembelian Chromebook di pasaran Malaysia. Melalui sebuah slaid yang ditunjukkan oleh Andrew Hou, Presiden Acer Pan Pacific menunjukkan bahawa pendapatan daripada peranti Chromebook mereka telah melonjak 1994 peratus dari tahun-ke-tahun fiskal 2020 ke 2021.

Ia dikatakan bahawa peningkatan pendapatan ini hadir melalui pembelian untuk tujuan pembelajaran daripada institusi pengajian, pembelian korporat dan pengguna-pengguna sendiri yang mencarinya.

Apa yang lebih menakjubkan lagi ialah Acer sudahpun memegang jenama Chromebook nombor sati di Malaysia sejak tahun 2017, dan jumlah pendapatan ini hanya mengesahkan kedudukan jenama tersebut sebagai jenama peranti Chromebook paling popular di Malaysia.

Selain daripada itu, Acer Malaysia turut memperlihatkan peningkatan dari segi pendapatan komersil sebanyak 179 peratus, dan pendapatan suku ketiga keseluruhan yang meningkat 22 peratus berbanding tahun sebelum.

Acer juga dilihat mengekalkan kedudukan nombor satu dalam kategori komputer desktop dan komputer riba pengguna, dan pilihan nombor satu untuk peranti gaming di Malaysia. Kesemua butiran ini didapati daripada penyelidikan yang dijalankan oleh IDC melalui laporan Quarterly Personal Computing Devices Tracker Q2 2021 mereka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd