ZTE Axon 20 adalah telefon pintar pertama dengan kamera bawah skrin yang dijual kepada umum. Walaupun Oppo telah mengacahnya terlebih dahulu, ZTE sailang semua dan melakukan strategi berani kerana teknologi ini masih awal dan boleh dikatakan tidak stabil.
Walaupun ada banyak masalah, ia tidak menghalang ZTE untuk terus hadir dengan generasi kedua yang mereka telah membaiki banyak masalah. Teknologi kamera bawah skrin serba baharu ini digunakan pada ZTE Axon 30 5G. Kami di Amanz berpeluang menguji peranti ini dan adalah inovasi penting atau kualiti kamera?

ZTE Axon 30 5G | |
---|---|
Skrin | 6.92-inci FHD+, 2460×1080 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
Sistem Operasi | MyOS 11, Android 11 |
Memori/Storan | 8/128 GB 12/256 GB |
Kamera Utama | 64MP+8MP+5MP+2MP (utama), (ultra lebar), (makro), (kedalaman) Algoritma AI |
Kamera Swafoto | Kamera bawah skrin 16MP |
Bateri/Pengecasan | 4200mAh 65W Berwayar |
SIM/Telefoni | Dwi-Sim, VoLTE |
NFC | NFC |
Audio | Mono Tiada bicu audio |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | Sekitar RM2599 |
Apa Yang Patut Anda Tahu
Seperti yang kami katakan tadi, peranti ZTE Axon 30 5G adalah generasi kedua dengan teknologi kamera bawah skrin. Sensor yang digunakan adalah 16MP yang mana agak besar. Walaupun bawah skrin, sensor ini masih boleh kelihatan jika diubah posisi ke sudut yang tertentu dan dengan jumlah cahaya yang baik. Cuma apa yang kami difahamkan, berbanding ZTE Axon 20 – peranti ini tiada lagi masalah yang teruk pada skrin dan hasil kamera. Kemudian ia juga mempunyai kamera swafoto yang lebih tersembunyi.

Peranti ini menggunakan skrin AMOLED 120Hz dengan saiz 6.92-inci, yang mana tidak mempunyai warna yang begitu baik atau cukup terang berbanding ZTE Axon 30 Ultra 5G yang telah kami ulas sebelum ini. Tetapi, penggunaan skrin pada peranti ini adalah lebih baik dengan 120Hz yang lebih konsisten dan stabil dan kurang masalah sangkut-sangkut yang kami alami pada Si Abang ZTE ini. Peranti ini menyokong lesen DRM Widevine L1 dan HDR 10-HLG, tetapi Netflix hanya menyokong resolusi FHD sahaja dan HDR hanya boleh ditonton di YouTube.

Peranti ini dijana dengan Snapdragon 870 dan dipadakan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Itu unit yang kami terima dan mungkin ini variasi yang dijual di Malaysia. Tetapi ZTE di pasaran luar turut menawarkan sehingga 12/256 GB. Kamera utama adalah 64+8+5+2 Megapixel, bateri sebesar 4200mAh, menyokong pengecasan pantas 65W, mempunyai pengimbas cap jari di bawah skrin dan menjalankan MyOS 11 berasaskan Android 11.
Apa Yang Menarik
Peranti ini mempunyai perisian yang jauh lebih stabil daripada ZTE Axon 30 Ultra 5G. Masalah lengah masa tidak kerap berlaku, prestasi terasa lebih pantas dan lebih menarik untuk digunakan. Perisian pada peranti ini dilihat seakan diberi lebih penuh perhatian berbanding peranti mereka yang lebih mahal. Snapdragon 870 juga adalah cukup pantas untuk bermain permua dan tidak ada masalah yang serius. Skor AnTuTu peranti ini adalah 705347, manakala pada Geekbench 5 pula adalah 982/3127 untuk satu teras dan multi-teras.


Sepanjang menggunakan peranti, lengah masa yang berlaku hanya apabila tetapan skrin 120Hz digunakan pada pelayar web dan Twitter dalam jangka masa panjang. Itu pun hanya sebentar sahaja dan boleh dimaafkan. Tambahan lagi pada skrin peranti adalah rekaan yang luas dan menyeluruh ini memberikan pengalaman menonton video yang sangat baik. Tiada takuk, tiada lubang dan tiada bezel atas yang tebal. Yang mengganggu hanya dagu sahaja yang sedikit tebal.
Peranti ini juga selesa di dalam tangan, menjadikan penggunaan jangka masa panjang untuk sebuah peranti dengan saiz menghampiri 7-inci ini adalah baik. Penggunaan rangkaian juga tidak menjadi masalah. Panggilan telefon berkualiti, menyokong VoLTE tanpa masalah, 4G yang stabil serta penggunaan GPS yang cukup pantas dan jitu.


Peranti ini juga menyokong pengecasan 65W yang boleh mengecas peranti dalam jangka masa yang cukup pantas. ZTE tidak menyatakan tempoh yang boleh dicas sehingga penuh, tetapi dalam ujian kami adalah sekitar 45 minit sahaja. Untuk audio, peranti ini mempunyai sokongan audio HiFi dan DTS:X Ultra yang membenarkan kami sambungkan aksesori IEM dan DAC/AMP mudah alih tanpa sebarang masalah.
Apa Yang Tidak Menarik
Walaupun begitu, perisian peranti ini sedikit ketinggalan dari segi rekaan antaramuka yang tidak begitu moden dan terkini. Kemudian tampalan sekuriti juga telah memberi amaran untuk kemaskini ke versi yang terkini dan peranti ini tidak boleh dikemaskini walaupun kami telah semak dan cuba muat turun OTA. Lain-lain pada hemat kami ia lebih kepada satu sistem operasi asas yang sekadar berfungsi dan boleh melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Modul kamera yang gergasi ini, walaupun tidak tebal – tetapi ia memberi satu gimik yang seakan memberitahu pengguna kamera mereka cukup berkuasa. Sayang sekali hasil gambar yang dihasilkan tidak begitu menarik. Pertama sekali ia ada masalah yang tidak konsisten, mungkin kerana sistem kecerdasan buatan yang tidak cukup hebat memproses imej-imej yang ditangkap. Butiran dapat dipelihara dengan baik, tetapi warnanya kadang-kadang tidak begitu hebat dan memuaskan.


Begitu juga dengan kamera swafoto, walaupun nampak unik dapat menggunakan skrin secara menyeluruh – tetapi dengan hasil gambarnya begitu teruk di tahap kami tidak boleh maafkan. Di sinilah yang kami katakan ZTE lebih pentingkan inovasi berbanding dengan kualiti. Lihat sampel di bawah yang kami bandingkan dengan Samsung Galaxy Z Fold3 dan Xiaomi Mix 4.
Imej langsung tidak tajam dan kelihatan lembut. Blooming yang ketara apabila ada sumber cahaya terang turut jelas kelihatan. Dalam situasi ini kami merasakan lebih baik kamera swafoto bawah skrin tidak disorokkan dengan lebih baik seperti pada Fold3 daripada menghadam kualiti gambar yang langsung tidak memuaskan.

Walaupun kami puji peranti ini menyokong aksesori audio berkualiti tinggi, yang mana alternatif terbaik selepas ketiadaan peranti LG. Tetapi pembesar suaranya adalah mono, tidak seimbang dan tidak memuaskan. Tidak dinafikan kualitinya cukup kuat dan lantang, tetapi untuk peranti yang melebihi RM2000 – ia satu perkara yang sukar kami terima.
Berbaloi Ke?
Menurut sumber kami, ZTE Malaysia akan menjual peranti ini tidak lama lagi. Mungkin sekitar hujung Oktober pada harga sekitar RM2599. Dengan harga sebegini, ia agak mahal memandangkan peranti dengan cip Snapdragon 870 banyak dijual pada harga mampu milik. Malah bawah RM2000 pun boleh dapat. Dengan harga sebegini, Vivo X60 yang dijual pada harga RM2499 pun kami akan kata lebih berbaloi.
Tetapi berbalik kepada pengalaman penggunaan. Jika anda ingin rasakan peranti dengan kamera bawah skrin yang benar-benar menyembunyikan kamera dan memberikan pengalaman menonton yang baik – ini adalah untuk anda. Tetapi jika kamera swafoto masih penting untuk anda, kamera peranti ini bukan untuk anda dan patut pilih yang lain sahaja. Anda perlu pilih, inginkan inovasi atau anda inginkan kualiti?
Perbandingan
ZTE Axon 30 5G | Oppo Reno6 Pro | OnePlus 9R | |
---|---|---|---|
Skrin | 6.92″ AMOLED, FHD+ (~400ppi), 120Hz | 6.5″ AMOLED, FHD+ (~402ppi), 90Hz, HDR10+ | 6.55″ Fluid AMOLED, FHD+ (~402ppi) 120Hz, HDR10+ |
CPU/GPU | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 Adreno 650 | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 Adreno 650 | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 Adreno 650 |
Memori/Storan | 8 GB 128 GB | 12 GB LPDRR4X 256 GB | 12 GB LPDDR5 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Belakang | Kamera Utama 64+8+5+2 Megapixel | Kamera Utama 50+16+13+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4 | Kamera Utama 48+16+5+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Swafoto | Kamera Hadapan 16-Megapixel | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.4 |
IP | Tiada | Tiada | Tiada |
Audio | Tiada bicu audio 3.5mm Speaker Mono | Tiada bicu audio 3.5mm Speaker Stereo | Tiada bicu audio 3.5mm Speaker Stereo |
Bateri | 4200mAh (Berwayar 65W) | 4500mAh (Berwayar 65W) | 4500 mAh (Berwayar 65W) |
Harga | Sekitar RM2599 | RM2999 | RM2199 OnePlus Global |
Pro
- Skrin menyeluruh dengan kamera tersembunyi
- Prestasi mantap yang pantas dan lancar
- Perisian MyOS yang lebih stabil
- Pengecasan pantas yang memuaskan
Kontra
- Kamera bawah skrin seakan 3GP
- Kamera utama yang tidak konsisten
- Speaker mono yang tidak seimbang
- Bateri yang lemah dan tidak mampu bertahan sehari
- Harga yang mahal
