Cari @ Amanz

Selain daripada telefon pintar, jenama yang berada di bawah naungan BBK Electronics iaitu Vivo juga mempunyai penawaran aksesori audio. Melaluinya, mereka sedia memperkenalkan beberapa set fon telinga nirwayar yang mempunyai ‘nilai sentimental’ tersendiri. Vivo TWS Earphone adalah pertaruhan terawal mereka yang diumumkan sekitar September 2019. Kemudian diikuti dengan Vivo TWS Neo yang dilancarkan sekitar Jun tahun lalu.

Terbaharu, mereka hadir dengan siri Vivo TWS 2 pula. Terdapat dua model yang telah dilancarkan iaitu Vivo TWS 2 ANC dan Vivo TWS 2e. Artikel ulasan ini akan lebih memfokuskan kepada Vivo TWS 2 ANC. Dengan penggunaan nama ANC, jelas sekali fon telinga ini lengkap dengan sistem pembatalan hingar aktif. Ia juga dikatakan fon telinga pertama keluaran Vivo yang dilengkapi fungsi berkenaan.

Tetapi, adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan ramai pengguna? Ikuti apa kata kami di Amanz dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi Audio:

Vivo TWS 2 ANC
JenisFon Dalam Telinga
Pemandu12.2mm
MikrofonTiga Mikrofon
Bateri7.3 jam – pembatalan bunyi dinyahaktifkan.
4.1 jam – pembatalan bunyi diaktifkan.
29 jam – pod pengecasan & pembatalan bunyi dimatikan
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTidak
CODECL2HC, SBC, AAC
Sistem operasi disokongAndroid, iOS, Windows
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airIPX4
Storan Dalaman
Audio Offline
Bluetooth5.2
Google Fast Pair
Harga JualanRM369

Reka Bentuk & Bahan Binaan:

Jelas kelihatan, Vivo sekali lagi menjadikan Apple sebagai inspirasi untuk reka bentuk fon telinga ini. Di mana, Vivo TWS 2 ANC kelihatan serupa dengan Apple AirPods Pro. Ia lengkap dengan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan putik silikon. Tidak dinafikan, rekaan sebegini adalah baik untuk anda yang begitu menyukai ‘berada dalam dunia sendiri’. Sebabnya, fon telinga sebegini mampu menghalang bunyi bising dari luar daripada mencemari pendengaran.

Keseluruhan tubuh dan pod pengecas Vivo TWS 2 ANC diperbuat daripada bahan berasaskan plastik dengan kemasan yang berkilat. Ia memang cantik tetapi kebiasaannya kemasan seperti ini menjadikan pod pengecasan itu licin. Pada masa sama, ia juga mudah kotor dan tercalar. Tambah-tambah lagi jikalau anda membeli Vivo TWS 2 dalam warna Moonlight White. Pada kami, lebih baik anda memilih warna Starry Blue yang berona gelap bagi mengaburi kekotoran tersebut.

Seterusnya, pemandu audio sebesar 12.2mm turut digunakan dan ia dibantu oleh tiga mikrofon terbina untuk kualiti audio yang baik. Dapat dilihat, sainya di sini yang sederhana menjadikannya selesa untuk digunakan. Selain itu, ia langsung tidak menyebabkan ketidakselesaan, malahan terletak elok sahaja di telinga. Terdapat sehingga tiga putik silikon berlainan saiz disertakan untuk keselesaan yang optimum. Vivo TWS 2 ANC juga dilengkapi kawalan sesentuh sepenuhnya. Ia bagaimanapun perlu ditekan bagi membolehkannya berfungsi.

Secara lalai, tetapan kawalan adalah tekan sekali untuk menjawab / memainkan audio / menjeda audio. Seterusnya, tekan dua kali untuk mematikan panggilan masuk / menukar audio/menyeru pembantu maya. Kemudian, bunyi audio pula boleh dilaras dengan meleretkan ke atas / ke bawah. Akhir sekali, mod pembatalan aktif boleh diaktifkan / dinyahaktifkan apabila ianya ditekan dengan lama. Pun begitu, kesemua kawalan ini boleh sahaja diubah mengikut citarasa anda sendiri. Pada kami, sokongan sesentuh pada kedua-dua fon telinga adalah kurang responsif. Anda juga akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kawalannya.

Kemudian, Saiz pod pengecasan yang kecil juga sangat memudahkan anda untuk memuatkan atau menyelitkan ke dalam poket seluar mahupun baju. Bukan itu sahaja, ia juga cukup ringan bagi memastikan penggunaan yang lancar tanpa gangguan meskipun untuk tempoh yang panjang. Engsel penutup juga dibina dengan baik dan magnet di bahagian dalam juga cukup kuat bagi memastikan fon telinga sentiasa tersimpan kemas. Bahagian hadapan pula terdapatnya sebuah lampu LED yang menunjukkan status tambatan dan bateri. Pada masa sama, butang tambatan dan port USB-C turut disertakan.


Sambungan & Aplikasi:

Bagi pengguna Android, fon telinga ini boleh ditambat dengan pantas menerusi sokongan Google Fast Pair. Ia membolehkan fon telinga ini disambung dengan hanya membuka pod pengecasan dan dikesan oleh peranti. Kemudian, anda akan perasan terpaparnya satu pop-up dengan grafik Vivo TWS 2 ANC. Tiada aplikasi yang perlu dimuat-turun sekiranya anda menggunakan fon telinga ini bersama peranti Vivo.

Tetapi pada peranti Android lain, anda disarankan untuk memuat-turun aplikasi tambahan dinamakan sebagai Vivo Earphones. Ini bagi membolehkan anda mengawal sejumlah fungsi penting seperti kawalan gestur dan kawalan pembatalan hingar. Pun begitu, pengalaman penggunaan terbaik adalah pada peranti Vivo kerana kesemua fungsi Vivo TWS 2 ANC boleh digunakan sepenuhnya. Di mana, beberapa fungsi seperti DeepX 2.0 Stereo Sound Effects, Dual Connect dan Find Earphones tidak boleh diakses pada peranti selain Vivo.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, fungsi DeepX 2.0 Stereo Sound Effects membolehkan anda memilih sehingga tiga kesan bunyi yang berbeza. Pertama adalah Mega Bass yang membolehkan sokongan Bass dipertingkatkan untuk audio lebih kuat secara langsung. Seterusnya, Clear Voice yang membolehkan butiran vokal dan melodi menjadi lebih jelas untuk didengar. Akhir sekali adalah Clear Highs yang berguna untuk bunyi dengan nada tinggi.

Seterusnya, anda juga boleh menyambungnya ke dua peranti secara serentak dengan fungsi Dual Connect. Misalnya, komputer riba dan telefon pintar, di mana ia akan lebih memudahkan lagi proses untuk berkomunikasi. Sebagai contoh, apabila terdapatnya panggilan masuk yang diterima, fon telinga akan secara automatik mengutamakan output audio situasi semasa. Kemudian, kembali semula ke komputer riba selepas panggilan berkenaan ditamatkan. Akhir sekali, fungsi Find Earphones pula sangat berguna bagi menjejak semula fon telinga yang tercicir.


Penggunaan & Kualiti Audio:

Mengulas lanjut mengenai kualiti audio, Vivo TWS 2 mempunyai sub-bass yang kuat. Di mana, ia cuba memberikan pengalaman bass cukup baik. Tapi sayangnya, ia tidak begitu menyeronokkan. Ini disebabkan oleh kelemahan pada mid-bass. Sekaligus, ia menjadikan sokongan bass yang terhasil tidak mempunyai dentuman cukup mantap, sebaliknya ia seakan mempunyai kekosongan yang sepatutnya diisi.

Seterusnya, vokal yang terhasil pula terlalu tenang sehinggakan suara penyanyi lelaki tidak memberikan satu impak yang baik. Suara yang sepatutnya boleh dihasilkan dengan baik tidak dapat dinikmati. Bagi suara penyanyi perempuan pula, ia kedengaran halus dan tidak konsisten mengikut muzik yang sedang didengari. Meskipun begitu, ia lebih neutral berbanding suara penyanyi lelaki.

Untuk high pula, bunyi dengan nada tinggi juga halus dan tidak mengasyikkan. Apabila sesuatu nada itu mula menghampiri puncak, ia kemudiannya akan terus jatuh dan menjadi sedikit hambar. Bukan itu sahaja, muzik dengan tona atau nada yang tinggi juga tidak menyerlah, malahan kepuasan juga langsung tiada. Kemudian, pementasan audio juga agak bercelaru. Lebih – lebih lagi muzik yang mengandungi banyak instrumen . Di mana, instrumen yang dimainkan tidak dapat didengari dengan jelas. Bahkan, butiran juga tidak dapat diperoleh.

Kami boleh katakan prestasi keseluruhannya adalah baik-baik sahaja. Ia boleh dikatakan sekadar baik dalam kelasnya, itu pun jika muzik yang dimainkan adalah jenis balada atau perlahan yang dinyanyikan oleh suara wanita. Sokongan bass yang tidak berdentum pada tahap yang baik juga sedikit mengecewakan. Namun begitu, sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) pada Vivo TWS 2 adalah cukup efektif.

Ia benar-benar berfungsi dengan baik dan mampu membatalkan frekuensi rendah serta tinggi tanpa sebarang masalah. Ia juga menyokong tetapan untuk mengubah tahap ANC yang bukan gimik dan jelas berbeza di antara ringan, biasa atau tinggi. Mod transparensi juga cukup baik. Pada masa sama, sokongan mikrofon juga cukup memuaskan, di mana mampu menangkap suara atau bunyi di sekeliling dengan baik. Namun begitu, sokongan bass menjadi semakin lemah.


Bateri

Vivo mendakwa fon telinga ini mampu beroperasi sehingga 29 jam lamanya dengan pod pengecas dan sokongan pembatalan hingar aktif yang dinyahaktif. Seterusnya, ia juga mampu bertahan maksimum 7.3 jam untuk setiap satu fon telinga juga dengan sokongan pembatalan hingar aktif yang tidak diaktifkan. Dengan mengaktifkan pembatalan hingar aktif pula, fon telinga ini mampu beroperasi mencapai 4.1 jam lamanya. Sepanjang penggunaan untuk ulasan, kami tidak menemui sebarang masalah dengan masa penggunaannya. Ia cukup bagus dan bertahan dengan lama.


Kesimpulan:

Sebagai kesimpulan, penggunaan nama ANC nampaknya bukanlah gimik semata-mata. Tetapi, Vivo TWS 2 ANC boleh dikatakan sebuah fon telinga yang berbaloi dalam julat harga jualannya. Itu pun, sekiranya sokongan pembatalan hingar aktif adalah keutamaan anda. Bukan itu sahaja, ia juga sangat bersesuaian buat anda yang memerlukan fon telinga yang selesa untuk penggunaan masa panjang. Kemudian, reka bentuk yang kecil dan ringan turut memudahkan anda untuk membawanya kemana-mana sahaja.

Pun begitu, Vivo TWS 2 ANC tidak dikhususkan untuk pengguna yang menggemari bunyi bass yang mendalam. Ianya masih baik tetapi kurang menyeronokkan. Audio dengan nada tinggi juga halus dan tidak mengasyikkan. Bagi yang berminat, Vivo TWS 2 dijual pada harga RM369 untuk seunit. Anda boleh mendapatkannya menerusi kedai atas talian rasmi atau mana-mana pengedar sah Vivo di seluruh Malaysia.


Pro

  • Reka bentuk ringan & selesa digunakan.
  • Pengalaman audio yang baik-baik sahaja.
  • Pembatalan hingar aktif yang efektif.
  • Sokong Google Fast Pair.

Kontra

  • Kualiti bass kurang menyeronokkan.
  • Pad sesentuh tidak begitu responsif.
  • Memerlukan aplikasi Vivo untuk mendapatkan fungsi menyeluruh.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd