Carian
Palm Akan Hadir Dengan TWS Tersendiri Tidak Lama Lagi
October 15, 2021 Fahim Zahar

Palm adalah jenama telefon pintar yang cukup popular pada suatu ketika dahulu. Beberapa tahun lepas, jenama ini telah diambil-laih oleh TCL dan memperkenalkan telefon pintar baharu bersaiz mini. Telefon pintar mereka ini adalah sebuah peranti dalam kelas asas sahaja dengan skrin 3.3-inci, cip Snapdragon 435, 3GB RAM, storan 32GB, bateri 800mAh, kamera 12MP belakang dan 8MP hadapan.

Selepas beberapa tahun mendiamkan diri dan melihat semua jenama sibuk dengan dunia aksesori audio, Palm dilihat sudah bersedia untuk kembali bangkit. Beberapa hari lepas, mereka mengacah yang mereka akan hadir dengan set fon telinga nirwayar tersendiri.

Mereka hanya mengacah imej yang kabur dengan fon telinga yang kelihatan seakan AirPods Pro, tetapi tangkai yang lebih nipis dan seakan tajam di hujung. Kemudian mereka mengacah “Escape The Noise“, memberi petanda yang TWS mereka ini mungkin akan hadir dengan sokongan pembatalan hingar.

Tiada maklumat lain yang dikongsi, tetapi produk mereka ini akan dilancarkan pada 26 Oktober akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Komen