Cari @ Amanz

Konsol sekarang bukan sekadar digunakan untuk memainkan permainan video tetapi juga menjadi pusat hiburan untuk menstrim kandungan video dan muzik. PlayStation 2 menjadi konsol yang paling tinggi jualannya dalam sejarah kerana mempunyai fungsi sekunder sebagai pemain DVD paling murah di pasaran pada waktu tersebut. Tanpa sokongan platform penstriman popular, pemilik akan merungut.

Kelak aplikasi Apple Music akan ditawarkan ke PlayStation 5 apabila pengguna di Amerika Syarikat mula diberikan saranan untuk memuat turunnya ke konsol. Ini disedari oleh u/HOLYWARS1990 di Reddit beberapa hari yang lalu. Tetapi apabila cubaan memuat turun dilakukan, aplikasi tidak ditemui di gedung PlayStation. Ini akan memberikan persaingan kepada Spotify yang selama ini menjadi aplikasi pilihan untuk pengguna konsol Sony.

Ini mungkin kerjasama antara Sony dan Apple selepas sebelum ini pemilik PlayStation 5 diberikan langganan percuma Apple TV+ selama enam bulan. Setakat ini Apple Music boleh digunakan pada peranti Apple, televisyen pintar Android, telefon Android, dan televisyen pintar Samsung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd