Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai pengurangan penggunaan bahan plastik dalam bungkusan, dua nama yang sering diperdengarkan orang ramai ialah seperti Apple dan Samsung yang memulakan trend untuk tidak membekalkan palam pengecasan, manakala Apple kini tidak lagi akan membalut kotak peranti mereka dengan plastik.

Acer merasakan bahawa untuk sesebuah syarikat melakukan perubahan yang sebenar dalam konteks alam sekitar, mereka perlulah memahami konsep sebenar Reuse, Reduce dan Recycle yang sering dilaungkan terhadap pihak pengguna.

Dengan itu, Acer baru-baru ini dilihat memperkenalkan siri komputer riba Acer Vero yang bukan sahaja menggunakan bahan kitar semula didalam bungkusannya, malah dalam rangka komputer itu sendiri. Menurut Acer, penggunaan bahan kitar semula ini, yang dinamakan post consumer recycled plastic ataupun plastik yang dikitar semula.

Secara ringkasnya, ia adalah bahan plastik yang diperbuat daripada bahan kitar-semula, seperti misal katanya plastik botol, plastik daripada komputer riba lain dan sebagainya.

Setelah diproses, plastik PCR ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis kegunaan lain, dan dalam aspek ini, Acer menggunakannya sebagai bahan untuk rangka komputer riba Acer Vero tersebut.

Kitar Dan Guna Semula

Acer Aspire Vero adalah salah satu daripada komputer riba inisiatif hijau Acer, dan pada pendapat kami, adalah salah satu komputer riba yang paling unik dan menarik, khususnya untuk penawaran sebuah komputer riba. Acer mengatakan bahawa sekitar 30 peratus daripada komputer riba ini menggunakan bahan plastik PCR tersebut.

Acer Aspire Vero 1

Apabila saya mengeluarkan komputer riba ini daripada kotak, saya agak terkejut melihat komputer riba ini. Rekaannya boleh saya katakan agak minimalis, dengan logo Acer dilihat kecil sahaja di bahagian belakang paparan skrin. Akan tetapi, penggunaan plastik PCR membuatkan saya tertarik dengan estetiknya.

Dari segi rasa permukaan, ia memang tidak berbeza dengan rangka plastik yang biasa dilihat, tetapi permukaannya seakan matte semulajadi dengan warna kelabu dan bintik-bintik kuning yang memperlihatkannya sebagai bahan kitar semula.

Acer turut mengatakan bahawa rangka Acer Aspire Vero ini tidak dicat untuk mengurangkan lagi kebarangkalian pencemaran alam sekitar, dan penggunaan plastik PCR ini juga memudahkan pengguna untuk membuka komputer riba ini untuk tujuan penaiktarafan komponen ataupun pembuangan apabila komputer riba ini tidak digunakan lagi.

Komponen Berkuasa

Walaupun komputer riba ini menggunakan bahan kitar semula untuk rangkanya, ia tidak bermakna bahawa komputer riba ini tidak berkuasa. Ia dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan dikuasakan dengan siri CPU Intel generasi ke-11. Untuk model yang kami dapat lihat ini, ia dikuasakan CPU Intel Core i7-1195G7, memori DDR4 sebanyak 16GB, yang mana ia adalah memori 8GB yang dipateri ke papan induk komputer riba ini, dan satu lagi boleh ditukar. Ia juga dilengkapi dengan SSD NVMe sebesar 512GB yang juga boleh ditukar jika diingini.

Dari segi I/O, komputer riba ini juga dimuatkan dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C dan satu palam USB 2.0 Type-A, satu palam HDMI, satu palam RJ-45 dan satu palam audio 3.5mm.

Bukan itu sahaja, komputer riba ini juga dilihat hadir dengan sistem operasi Microsoft terbaru, Windows 11, jadi anda tidak perlu menaiktaraf sistem operasi daripada Windows 10 secara manual.

Naiktaraf Komponen Dengan Mudah

Seperti yang dikatakan sebelum ini, salah satu daripada kelebihan Acer Aspire Vero ini ialah pengguna boleh menaiktaraf komponen-komponen didalamnya dengan mudah. Secara lazimnya, komputer riba yang memfokuskan kemampuan produktiviti agak sukar untuk dinaiktaraf sendiri, tetapi dengan Aspire Vero, anda hanya perlu membuka sejumlah skru yang menggunakan kepala Philips dan membuka rangka plastik bahagian bawah untuk mendapatkan akses kepada komponen-komponen komputer riba ini.

Seperti yang dapat dilihat, diantara komponen yang boleh ditukar dan dinaiktaraf oleh pengguna sendiri termasuklah komponen bateri, memori DDR4 dan juga storan SSD NVMe. Kesemua komponen-komponen ini boleh ditukar sendiri oleh pengguna tanpa perlu risau melanggar apa-apa waranti.

Perkara ini juga memudahkan pengguna untuk membersihkan bahagian dalaman komputer riba ini daripada habuk yang disedut masuk melalui kipas-kipas penyejukan yang akan mengurangkan prestasi komputer riba ini apabila dibiarkan.

Mengapa Tidak Dibina Dengan Peratusan Plastik PCR Lebih Tinggi?

Apabila Acer mengumumkan ketibaan siri komputer riba Acer Vero ini, ada yang tertanya bahawa mengapakah mereka tidak menggunakan peratusan plastik PCR yang lebih tinggi dalam binaan komputer riba mereka.

Jawapan yang diberikan oleh pihak Acer ialah walaupun penggunaan plastik PCR ini adalah baik untuk jangka-masa panjang, hakikatnya ialah teknologi memproses plastik seperti ini masih lagi baru, dan ia adalah sangat mahal sekiranya penggunaan plastik ini lebih tinggi daripada satu jumlah peratusasn yang telahpun dipersetujui.

Ini bermakna bahawa Acer masih lagi perlu mementingkan kos yang akan perlu dibayar pengguna dengan komputer-komputer riba seperti ini. Acer berasa cukup yakin bahawa akan terdapat ramai pengguna dan syarikat yang mahu menggunakan komputer riba seperti ini, tetapi jika tanda harganya terlalu mahal, mereka akan mahu mencari alternatif yang lebih murah.

Pengenalan siri komputer Acer Vero ini juga adalah satu cara untuk melihat bagaimanakan penerimaan pengguna terhadap komputer riba seperti ini. Gabungan penggunaan bahan kitar semula, komponen dalaman yang berkuasa, dan juga kemampuan untuk menaiktaraf komponen sendiri dijangka akan meningkatkan lagi kepercayaan pengguna kepada produk-produk seperti ini.

Malah, sewaktu acara Acer Global Press Conference, pihak Acer mengatakan mereka akan menawarkan pakej untuk syarikat-syarikat yang mahu membeli peranti Vero ini, dan turut menawarkan perkhidmatan dimana mereka boleh menggunakan logo syarikat apabila komputer riba tersebut dimulakan.

Percubaan Yang Murni Dan Berani

Bagi kami, apa yang menarik mengenai komputer riba Acer Aspire Vero ini, dan komputer-komputer Acer Vero yang lain ialah percubaan berani mereka untuk menggunakan bahan kitar semula plastik PCR ini dalam binaan mereka. Walaupun masa kami dengan komputer riba ini adalah untuk masa yang singkat, saya berharap bahawa ini adalah masa hadapan komputer riba khususnya untuk model-model produktiviti dan nipis dan ringan.

Kemampuan menukar dan menaiktaraf komponen secara sendiri juga boleh saya katakan antara faktor utama mengapa komputer riba ini akan menjadi sangat popular apabila ia ditawarkan di pasaran tempatan nanti.

Buat masa ini, Acer Malaysia masih belum mengesahkan bilakah mereka akan menawarkan Acer Aspire Vero ini di pasaran tempatan kelak, tetapi berdasarkan bagaimana kami sempat membelek komputer ini untuk seketika, kami jangkakan bahawa ia akan diperkenalkan untuk pelanggan tempatan itdak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd