Cari @ Amanz

Demam Clubhouse mungkin tidak lagi sehangat dahulu selepas platform mula dibuka untuk pengguna Android dan saingan dari Twitter Spaces. Namun begitu Clubhouse masih mempunyai beberapa ciri baharu yang ingin diperkenalkan bagi menjadikannya unik kepada pengguna. Ciri Music Mode telah diumumkan hari ini bagi membolehkan pengguna melakukan konsert dalam Clubhouse dengan kuasa audio yang lebih baik.

Music Mode boleh diakses dengan menekan butang menu tiga titik di dalam bilik Clubhouse sebelum memilih untuk mengubah kualiti audio untuk muzik. Selain kualiti audio yang lebih baik, audio juga adalah dalam format spatial supaya pendengar dapat merasakan diri mereka sedang menonton konsert sebenar secara langsung.

Turut diperkenalkan ialah sistem carian kandungan yang lebih baik bagi mencari bilik-bilik degan topik yang menarik minat pengguna. Di waktu yang sama, rakaman klip 30 saat yang diumumkan sebelum ini disahkan boleh dilakukan dalam format stereo.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd