Arab Saudi ingin mencari sumber pendapatan baharu menerusi pelancongan kerana pendapatan dari jualan minyak adalah tidak lestari. Pelbagai pusat tarikan pelancong mula dibina dengan promosi dilakukan oleh selebriti media sosial barat. Seterusnya dalam pelan menjadikan Arab Saudi destinasi pelancongan popular dunia ialah The Rig, taman tema yang dibina di atas sebuah pelantar minyak.
Projek The Rig diumumkan oleh Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) yang mula dikenali ramai akhir-akhir ini selepas mengambil alih kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Newcastle United. Walaupun menggunakan nama The Rig, ia tidak mengitar semula pelantar minyak lama. Sebaliknya struktur baharu seakan pelantar minyak akan dibina di Teluk Parsi.

Ia akan menempatkan 3 hotel dengan 800 bilik, 11 restoran, arena hiburan dan pelbagai aktiviti hiburan. Antaranya ialah taman tema air, aktiviti menyelam, aktiviti menggunakan kapal selam mini, roda Ferris, roller coaster, kereta kabel, lompatan bungee, flying fox, dan banyak lagi. Kesemuanya diletakkan di dalam The Rig dengan keluasan lantar 15,000 meter persegi.

The Rig ialah hanya salah satu dari puluhan projek PIF yang ingin membangunkan industri pelancongan Arab Saudi menjelang 2025. Sebelum ini Red Sea Project diumumkan sebagai pusat peranginan lestari sifar bahan buangan dan Six Flags Qiddiya yang bakal mempunyai roller coaster terpanjang, terpantas serta tertinggi dunia.