Cari @ Amanz

Apple turut hari ini memperkenalkan satu perkhidmatan digital baharu, iaitu satu pelan langganan khusus untuk pengguna Apple Music dan mereka yang aktif menggunakan Siri.

Pelan ini dipanggil sebagai Apple Music Voice Plan. Ia adalah pelan yang mengaktifkan ciri menggunakan Siri untuk mengawal Apple Music hanya dengan arahan suara. Melaluinya pengguna akan menerima akses kepada ratusan stesen audio, lebih banyak senarai main, kawalan media penuh dengan suara termasuk melangkau audio yang sedang dimainkan.

Ciri ini juga membolehkan pengguna mengarahkan Siri untuk mainkan muzik pada mana-mana peranti dengan Siri seperti HomePod Mini, AirPods, iPhone atau juga CarPlay. Harga langganan adalah $4.99, iaitu sekitar RM21 dan pengguna perlu mempunyai langganan ke Apple Music untuk menggunakannya.

Pengguna yang tidak melanggan boleh mencubanya secara percuma selama 7 hari dengan arahan suara Hey Siri, start my Apple Music Voice trial. Dalam aplikasi Apple Music kepada mereka yang melanggan pelan ini, turut akan ada segmen khas Just Ask Siri. Ia hanya ditawarkan di 17 negara sahaja iaitu Australia, Austria, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, India, Itali, Jepun, Mexico, New Zealand, Sepanyol, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd