Dua model MacBook Pro baharu dilancarkan awal pagi dengan pilihan skrin 16″ dan 14″ serta cip M1 Pro atau M1 Max. Perubahan paling mendadak berbanding tahun lalu sebenarnya ialah kembalinya sistem pengecasan MagSafe dan port I/O tambahan yang dihentikan sokongannya oleh Apple beberapa tahun yang lalu.
Port HMDI, pembaca kad SD dan MagSafe semuanya kembali ke sisi komputer riba yang diharap akan menamatkan keperluan pengguna pro membeli penyesuai semata-mata untuk melakukan perkara asas seperti membaca kad memori dari kamera. Namun begitu satu port penting masih enggan dikembalikan oleh Apple iaitu USB-A.
Ini ialah tindakan yang agak aneh memandangkan masih terdapat banyak aksesori penting seperti tetikus masih menggunakan USB-A. Majoriti tetikus kelas mercu misalnya menggunakan sambungan berkabel USB-A atau dongal pemancar frekuensi radio/LightSpeed berkepala USB-A. Lebih aneh apabila menyedari Mac Mini dan iMac M1 masing-masing dilengkapi 2 USB-A dan 4 USB-A.
USB-A masih adalah port yang perlu pada hemat kami dan ketiadaannya adalah sedikit canggung. Jika diberikan pilihan lebih baik USB-A diberikan berbanding MagSafe kerana MacBook Pro masih boleh dicas menerusi port USB-C yang menyokong Thunderbolt 4.