Semua syarikat teknologi nampaknya mempunyai impian menjadi pengeluar kenderaan elektrik pintar pula kerana ia dilihat sebagai evolusi seterusnya. Di acara Hon Hai Technology Day 2021 yang berlangsung semalam, Foxconn memperlihatkan tiga kenderaan elektrik konsep dalam bentuk kereta sedan, kereta SUV dan sebuah bas.

Model E ialah kereta sedan elektrik mewah yang mempunyai kemampuan memecut dari 0-100 kmj dalam masa hanya 2.8 saat yang lebih pantas berbanding sebuah kereta F1 yang mengambil masa 3.1 saat. Dengan bateri yang digunakan pula, Model E boleh bergerak sehingga 750 km dengan sekali caj. Kenderaan ini direka dengan kerjasama Pininfarina yang terkenal dengan kereta elektrik buatan Ferarri.

Model C ialah SUV elektrik yang mempunyai kemampuan memecut dari 0-100 kmj dalam masa hanya 3.8 saat dengan bateri 700 km. Kenderaan mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan 5+2 penumpang dengan tubuh sepanjang 4.64 meter.

Akhir sekali ialah Model T, sebuah bas elektrik dengan kelajuan maksimum 120 kmj dan jarak operasi 400 kilometer dengan sekali caj. Menurut Foxconn, Model T telah melepasi ujian ketahanan sejauh 200,000 di Automotive Research & Testing Center milik mereka.
Foxconn berkata Model T sedia untuk dijual bermula 2022 manakala Model C pula akan dilancarkan pada tahun 2023 pada harga bermula $35,700 (~RM149,000) sebuah.