Pat Gelsinger Mahu Apple Kembali Menggunakan Cip Pemprosesan Intel Dalam Peranti Mereka

Diterbitkan pada Okt 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Malam semalam, Apple telah melancarkan siri peranti MacBook Pro terbaru mereka yang menggunakan cip pemprosesan generasi kedua yang dibangunkan mereka sendiri, iaitu M1 Pro dan juga M1 Max yang menjanjikan prestasi 70 peratus lebih hebat berbanding model sebelumnya.

Ironinya, salah satu daripada sebab utama mengapa perkara ini berlaku ialah kerana kerjasama bersama Intel sebelum ini tidak memperlihatkan hasil yang dikehendaki oleh Apple. Setelah Apple menggunakan cip pemprosesan dengan rekaan mereka sendiri, siri komputer riba MacBook seolah-olah mendapat nyawa kedua dan kini merupakan peranti produktiviti pejabat dan kreatif yang terbaik di pasaran.

Walaupun begitu, Pat Gelsinger, CEO baru Intel yang baru mengambil-alih tampuk pimpinan daripada Bob Swan telah menyatakan hasrat untuk kembali bekerjasama dengan Apple supaya mereka kembali menggunakan cip-cip pemprosesan Intel.

Pat Gelsinger berkata dalam sebuah temubual bersama Axios bahawa beliau kagum dengan Apple yang telah berjaya membangunkan cip pemprosesan yang cukup berkuasa untuk menandingi penawaran oleh Intel. Malah, perkara tersebut telah membuatkannya berkobar-kobar untuk membangunkan cip pemprosesan yang lebih hebat daripada Apple M1, dan mahu Apple kembali menggunakan cip pemprosesan mereka.

Walaupun begitu, secara teknikalnya kerjasama diantara Apple dan Intel bukanlah berakhir di situ sahaja. Dengan penawaran MacBook Pro baru ini, ia dilihat bahawa siri komputer riba profesional terbaru daripada Apple ini hadir dengan penawaran Thunderbolt 4 yang secara lazimnya hanya dilihat pada komputer riba yang dikuasakan siri CPU Intel Tiger Lake dan keatas.

Dengan penawaran ini, MacBook Pro M1 Pro/Max mampu menggerakkan beberapa paparan skrin dengan resolusi 4K sekaligus, dan digunakan untuk mengecas komputer riba ini selain daripada penggunaan pengecas MagSafe yang dikembalikan pada siri ini, disamping penawaran kadar penghantaran data 40Gbps.

Sumber: Tom’s Hardware

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami