Cari @ Amanz

Apakah yang membezakan dua pesawat dengan konfigurasi yang sama di medan perang? Jawapannya ialah juruterbangnya. Dengan latihan yang baik, pesawat yang “lemah” dapat mengalahkan pesawat yang lebih canggih dan ini telahpun dibuktikan di Perang Korea sebelum ini. Tetapi kos melatih juruterbang semakin meningkat dan masa juga sering cemburu. Untuk melatih juruterbang generasi seterusnya, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) akan menggunakan dron supersonik.

Syarikat Exosonic telah dianugerahkan kontrak oleh USAF untuk membina sebuah UAV dengan kemampuan supersonik bagi tujuan latihan. Ia akan mempunyai kemampuan seperti pesawat pejuang sebenar bagi memastikan juruterbang dapat merasakan situasi seperti bertarung dengan musuh. Dengan penggunaan dron. pesawat tempur dapat dibebaskan dari tugasan menjadi pesawat melatih dan juruterbang manusia juga tidak diperlukan.

Exosonic akan menggunakan dron yang sama bagi mengumpul data untuk membina pesawat penumpang supersonik mereka sendiri yang lebih senyap berbanding generasi terdahulu. Pada waktu ini hanya Exosonic, Boom Supersonic dan NASA masih membangunkan pesawat supersonik dengan Aerion gulung tikar tahun ini.

Sumber New Atlas

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd