Penggunaan kuasa nuklear dapat membekalkan kuasa elektrik yang tinggi tetapi berisiko besar seperti yang dapat dilihat berlaku di Chernobyl dan Fukushima. Tetapi potensinya masih tidak dapat dinafikan dengan ia menjadi pilihan sebagai sumber kuasa untuk roket dan pangkalan di permukaan bulan. Oleh itu Radiant, sebuah syarikat rintis dari Amerika Syarikat ingin membangunkan reaktor nuklear mudah alih untuk kegunaan komuniti kecil, ketenteraan dan ketika bencana alam.

Radiant terdiri daripada bekas pekerja SpaceX yang melihat penggunaan reaktor nuklear bersaiz kecil adalah lebih berguna di Bumi berbanding di angkasa lepas. Reaktor mereka bersaiz kecil sehingga boleh dipindahkan di dalam sebuah kontena. Walaupun kecil, reaktor ini mampu menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk 1000 rumah selama lapan tahun. Menurut mereka lagi bahan api yang digunakan adalah lebih selamat kerana tidak akan mengalami peleburan sekiranya sistem penyejukan hidrogen yang digunakan mengalami masalah.
Radiant telah menerima dana $1.2 juta untuk menjadikan idea reaktor mini yang selamat ini realiti. Ini bukan satu-satunya projek membangunkan reaktor selamat di dunia. China telah membina reaktor dengan bahan api Thorium yang boleh beroperasi tanpa sistem penyejukan yang kompleks serta separuh hayat yang lebih pendek.
Sumber New Atlas