Kenderaan elektrik berbateri (BEV) ialah jenis kenderaan elektrik dengan pasaran terbesar sekarang. Syarikat pengeluar kenderaan kini berlumba-lumba mengeluarkan BEV mereka kerana sambutan dari pengguna yang semakin cakna mengenai pencemaran dari enjin bahan api fosil. Kumpulan Stellantis, yang merupakan syarikat automotif keempat terbesar dunia telah menandatangani perjanjian untuk menggunakan bateri yang dikeluarkan oleh Samsung SDI.

Selain menggunakan bateri Samsung SDI, Stellantis yang mengeluarkan kenderaan seperti Jeep, Chrysler, Fiat, Maserati, Lancia, Opel, Dodge, dan Citroen turut akan membina kilang bateri di Amerika Syarikat. Sehari sebelum pengumuman ini, Stellantis turut menandatangani perjanjian dengan LG untuk membina kilang bateri juga di Amerika Syarikat. Stellantis mempunyai perancangan melabur $34.9 bilion (~RM145 bilion) untuk program elektrifikasi kenderaan dan pembangunan perisian.