Semalam Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dilancarkan sebagai peranti yang paling Google pernah dihasilkan setakat ini. Dengan penggunaan cip Google Tensor, Google akhirnya mampu menghasilkan cip yang benar-benar memenuhi keperluan kuasa, kecerdasan buatan dan sistem fotografi mereka. Dua ciri inovatif yang diperkenalkan semalam ialah Wait Times dan Direct My Call. Walaupun boleh mengubah bagaimana kita menggunakan telefon.
Wait Times memberikan saranan waktu terbaik untuk melakukan panggilan telefon ke bank, syarikat telekomunikasi atau restoran. Dengan adanya graf kesibukan, anda boleh memilih sama ada ingin meneruskan panggilan telefon atau menanti waktu yang tidak puncak.
Seterusnya ialah ciri Direct My Call yang mengambil alih tugasan mendengar arahan suara automatik apabila panggilan telefon dilakukan. Telefon akan mendengar arahan seperti “tekan 1 untuk melakukan aduan atau tekan 2 untuk becakap dengan Abang Jamil” dan sebagainya bagi pihak pemilik. Teks akan dipaparkan pada skrin dan pemilik hanya perlu menekan butang yang relevan kepada apa yang ingin dilakukan tanpa perlu mendengar audio yang membosankan. Ini ialah satu lagi ciri menggunakan teknologi Google Duplex yang menggunakan pembantu maya untuk menggantikan tugas yang dahulunya perlu dilakukan secara manual.
Kedua-dua ciri ini malangnya hanya boleh diakses pengguna Pixel 6 dan Pixel 6 Pro di Amerika Syarikat sahaja pada waktu ini. Walaupun Google Duplex sudah dua tahun diaktifkan, pengguna di luar Amerika Syarikat hanya mampu melihat sahaja kerana Google masih tidak berkongsi bilakah ia akan diberikan kepada pengguna global.