Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai membina sebuah komputer desktop, orang ramai secara lazimnya akan tergolong dalam kumpulan mereka yang suka membinanya, ataupun berasa takut, khususnya apabila melihat tanda harga komponen-komponen yang diperlukan, dan tidak mahu sebarang masalah yang mungkin akan berlaku apabila mereka melakukannya sendiri.

NZXT, syarikat pembuat PC yang cukup terkenal untuk rangka PC desktop dan aksesori komputer mereka yang lain baru-baru ini memperkenalkan NZXT BLD Kit iaitu sebuah kit membina komputer yang lengkap bagi mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan hobi membina komputer.

Dalam sebuah BLD Kit ini ialah semua komponen dan kelengkapan yang diperlukan untuk membina sebuah komputer, tetapi kelainannya di sini ialah NZXT dilihat menawarkan sebuah manual binaan yang cukup mudah untuk difahami oleh mereka yang tidak pernah membina sebuah komputer sebelum ini.

Manual yang ditawarkan ini juga bukanlah seperti manual komponen komputer yang hanyalah untaian teks yang tidak memberi sebarang konteks kepada pengguna. Manual ini menyenaraikan setiap komponen yang akan digunakan dalam binaan anda, dan merupakan panduan langkah-demi-langkah yang akan menerangkan sedikit sebanyak mengenai komponen yang dipasang, dan bagaimana untuk memasangnya.

Sayangnya, buat masa ini, kit binaan komputer NZXT BLD Kit ini hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat buat masa ini. Ia ditawarkan pada harga sekitar $1399 ke 1599 bergantung kepada komponen-komponen yang anda mahukan.

Sumber: NZXT BLD Kit

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd