Facebook Dikatakan Akan Menjenama-semula Syarikat Seawal Minggu Hadapan

Diterbitkan pada Okt 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Facebook memulakan hayatnya dibawah naungan Mark Zuckerberg sebagai platform media sosial paling laris di dunia. Ia kemudiannya dilihat mengambil-alih platform perkongsian fotografi Instagram, dan kemudiannya platform permesejan WhatsApp dan syarikat pembangun peranti realiti maya Oculus.

Kesemua ini, pada pandangan CEO Facebook tersebut, membuatkan syarikatnya telah bergerak kearah yang mana beliau kini bukan sahaja menjaga sebuah platform sosial media, tetapi sebuah konglomerat teknologi yang boleh berkait-hubung dalam sebuah “metaverse”.

Oleh kerana ini, ia telah dilaporkan oleh pihak The Verge yang mengatakan bahawa Facebook sebagai sebuah syarikat teknologi penaung akan dijenamakan semula, mungkin seawal minggu hadapan. Menurut mereka, sebagai platform media sosial, Facebook akan berada dibawah payung syarikat naungan ini, bersama-sama dengan platform teknologi yang lain seperti Instagram, WhatsApp, Oculus dan sebagainya.

Ini bukanlah sesuatu yang baru. Alphabet, syarikat penaung Google juga melakukan perkara sama sekitar enam tahun yang lalu. Google pada ketika itu juga memiliki sejumlah besar syarikat-syarikat yang dilihat mempelopori pelbagai jenis teknologi dari segi robotik, internet, automotif dan sebagainya, dan pengenalan Alphabet ialah satu cara untuk mereka memastikan bahawa Google kekal dengan fokusnya untuk menawarkan perkhidmatan atas talian pengguna terbaik.

Facebook kini dilihat menghadapi dilema yang sama, cuma kali ini, mereka dilihat menghadapi cabaran daripada pelbagai pihak kerana kesukaran mereka untuk menangani pelbagai isu yang semakin meningkat pada platform tersebut. Isu dimana ketiga-tiga platform digital utama mereka juga terbengkalai selama tujuh ke lapan jam juga menjadi isu besar khususnya untuk syarikat seperti mereka yang digunakan oleh beratus juta orang di seluruh dunia untuk berkomunikasi dengan satu sama lain.

Nama syarikat naungan Facebook ini juga dilaporkan tidak diketahui walaupun oleh pucuk pimpinan tertinggi syarikat tersebut. Ia dijangka bahawa nama syarikat tersebut hanya akan diumumkan pada acara persidangan Facebook Connect yang akan berlangsung pada 28 Oktober ini.

Sumber: The Verge

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami