Carian
Google Perkenalkan Pelan Langganan Termasuk Peranti – Pixel Pass
October 20, 2021 Fahim Zahar

Google pagi tadi turut melancarkan berkas pelan langganan mereka Pixel Pass, iaitu satu langganan untuk semua perkhidmatan. Ia adalah seakan Apple One, tetapi membezakan iterasi Google ini adalah – ia bukan sahaja perkhidmatan digital tetapi turut termasuk dengan peranti.

Pixel Pass ini adalah pelan melanggan telefon secara bulanan dengan perkhidmatan digital mereka termasuk Google One iaitu Google Drive 200GB, YouTube Premium, YouTube Music, Google Play Pass dan juga Preferred Care iaitu jaminan tambahan termasuk membaiki skrin. Peranti yang ditawarkan hanyalah Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dan mereka yang sudah melanggan salah satu perkhidmatan digital ini perlu mematikannya dan mendaftar kontrak dua tahun bersama Google untuk Pixel Pass.

Pelan ini turut menawarkan naik taraf ke Pixel baharu selepas tamat tempoh dua tahun dan menariknya, Pixel ini tidak perlu dipulangkan dan boleh menjadi hak milik pengguna. Pengguna turut diberi peluang untuk tukar beli jika inginkan harga langganan bulanan yang lebih rendah.

Harga langganan untuk Pixel 6 128GB adalah $45 sebulan, sekitar RM187. Manakala 256GB pada harga $48.75, iaitu sekitar RM203. Untuk Pixel 6 Pro 128GB ia ditawarkan pada $55 sebulan, sekitar RM229. 256GB pada harga $58.75 dan 512GB pula pada harga $62.50 iaitu sekitar RM245 – RM260 sebulan.

Komen