Alienware, jenama yang pejam celik sudah berusia 25 tahun. Mereka bertanggungjawab mempopularkan komputer gaming pasang siap Aurora dengan rekaan futuristik. Sempena syarikat mencecah usia suku kurun, komputer desktop Aurora edisi khas telah dilancarkan.
Aurora edisi baharu ini mengambil inspirasi dari Aurora ALX yang dilancarkan pada tahun 2004. Ia mempunyai rekaan terbuka yang menurut Alienware meningkatkan isipadu menara sehingga 50% dan pada waktu yang sama meningkatkan juga pengaliran udara untuk menyejukkan komponen. Empat kipas 120mm boleh digunakan untuk penyejukan dan juga sistem penyejukan cecair yang lebih efisien. Selain lebih sejuk, Aurora kini sehingga 16% lebih senyap jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Terdapat lapan zon lampu RTB yang boleh dikawal dengan menara ditawarkan dalam warna Lunar Light dan Dark Side of the Moon. Di Malaysia Alienware Aurora dijual pada harga RM8899 bermula penghujung Oktober dengan spesifikasi CPU Intel Core i5-12600KF generasi ke-12, GPU NVIDIA GeForce RTX 3060,memori 16GB RAM, storan SSD 512GB dan menggunakan sistem operasi Windows 11.