Pembangun Disebalik Raspberry Pi Terpaksa Menaikkan Harga Produk Kerana Isu Bekalan Cip

Diterbitkan pada Okt 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Raspberry Pi ialah sebuah komputer kerdil yang secara lazimnya digunakan oleh pembangun teknologi amatur untuk tujuan membangunkan prototaip sesebuah produk, ataupun sebagai alat pembelajaran untuk kanak-kanak mula berjinak-jinak dengan alam pengaturcaraan dan pembinaan komputer.

Sejak wabak COVID-19 membelenggu dunia, ramai orang yang membeli komputer Raspberry Pi ini untuk pelbagai jenis tujuan, dan oleh kerana permintaan tinggi dan bekalan yang tidak begitu mencukupi, pembangun di sebalik komputer ini hanya mampu memasarkan sekitar 7 juta unit Raspberry Pi ini sepanjang tahun 2021.

Menurut catitan di blog mereka, dua model yang mencatatkan permintaan tinggi, tetapi unit yang tidak mencukupi ialah Raspberry Pi Zero dan juga model 2GB Raspberry Pi 4. Lebih menyedihkan lagi ialah pihak Raspberry menjangkakan bahawa isu bekalan cip ini akan berterusan sehingga pertengahan atau penghujung 2022 kelak, tetapi untuk produk-produk yang menggunakan cip pemprosesan yang dibina menggunakan proses 40nm seperti Raspberry Pi 3B dan Pi 3B+.

Ini juga bermakna bahawa untuk masa terhad ini, harga untuk komputer Raspberry Pi 4 akan memperlihatkan kenaikan harga sementara dari $35 sebelum ini ke $45, iaitu harga asal untuk komputer kerdil ini. Bukan itu sahaja, untuk memenuhi permintaan Raspberry Pi 4 secara global, model Raspberry Pi 4 dengan memori 1GB juga akan diperkenalkan semula selepas penjualannya ditamatkan pada tahun lepas.

Model tersebut akan dijual pada harga $35, yang memberikan pengguna sedikit pilihan samada mereka mahukan model dengan nilai memori 2GB yang sedikit lebih mahal ataupun 1GB pada harga yang sama sebelum ini. Ia dikatakan bahawa kenaikan harga ini adalah sementara sahaja, dan apabila pasaran komponen semikonduktor dan penghantaran semakin stabil, harga komputer ini akan dikemaskini untuk memastikan ianya masih boleh dibeli pada harga lebih mampu milik.

Sumber: Raspberry Pi

komen


© Amanz / 2022 Kami