MSI Menjangkakan Bahawa Harga Modul Memori DDR5 Akan Tampil Dengan Harga Jauh Lebih Mahal Berbanding DDR4

Diterbitkan pada Okt 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel bakal memperkenalkan siri cip pemprosesan mereka, Alder Lake yang bakal hadir dengan sokongan untuk kelas memori terbaru, DDR5 yang menjanjikan kadar kelajuan dan penghantaran data yang lebih tinggi, disamping penggunaan kuasa yang jauh lebih rendah berbanding penawaran memori sebelum ini.

Bukan itu sahaja, ia memori DDR5 juga hadir dengan kemampuan lewahjam yang membolehkan memori DDR5 ini hadir dengan prestasi yang tidak mungkin akan dicapai oleh memori DDR4, dan untuk mereka yang mengejar rekod prestasi lewahjam komputer pastinya tidak sabar untuk menguji kemampuan memori ini, yang dijangka boleh meningkat dari 4800MHz sehingga 10,000 MHz secara teori.

MSI, salah satu syarikat pembuat komponen komputer terkemuka berkata bahawa prestasi memori baru ini akan hadir dengan tanda harga 50 ke 60 peratus lebih tinggi berbanding dengan memori DDR4 apabila ia dilancarkan kelak. Perkara ini adalah biasa untuk piawaian memori DDR baru kerana apabila DDR4 baru dilancarkan, harga memori tersebut juga dilihat hadir jauh lebih tinggi berbanding DDR3 sebelumnya.

Syarikat tersebut menjangkakan bahawa harga memori tersebut akan kembali ke paras norma sekitar dua ke tiga tahun selepas pelancaran memori tersebut ke pasaran. Ini adalah perkara normal untuk memori yang baru ditawarkan, dan dengan isu cip semikonduktor yang masih lagi membelenggu dunia, ia mungkin tidak mengejutkan untuk melihat tand harga komponen tersebut kekal tinggi selama empat ke lima tahun akan datang.

Dengan pengenalan siri cip pemprosesan Intel Alder Lake pada penghujung bulan ini, dan juga AMD yang akan memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Zen 4 tahun hadapan, ia dijangka bahawa penggunaan memori DDR5 akan meningkat di masa terdekat ini.

Sumber: MSI

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami